KAMPUNG RAJA - Seorang wanita terpaksa menerima kira-kira sembilan jahitan di kepala selepas ditetak suaminya dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, mangsa yang berusia 28 tahun mengalami kecederaan di belakang kepala selepas ditetak beberapa kali ketika pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa balik ke rumahnya sebelum didatangi suaminya dalam keadaan marah.
“Ketika mangsa masuk ke rumah, tiba-tiba suami suspek bertindak menetak kepalanya beberapa kali dengan parang sehingga berdarah.
“Pada masa sama, suspek dikatakan memukul dan memijak kepala isterinya,” katanya.
Khaled berkata, selepas melakukan perbuatan tersebut, suspek melarikan diri masuk ke dalam hutan, namun pulang semula ke rumah selepas itu.
Mangsa kemudian, katanya, meminta bantuan jiran dan membuat laporan di Balai Polis Pasir Akar sejurus kejadian.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Pasir Akar ke rumah mangsa dan mendapati suspek berada di dalam rumah.
“Suspek berusia 37 tahun itu berjaya ditahan pada hari sama untuk siasatan lanjut, sementara isteri suspek terima kira-kira sembilan jahitan akibat tetakan itu,” katanya.
Saringan awal mendapati, suspek positif dadah jenis methamphertamine.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.
Dalam perkembangan lain, Khaled turut menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan tanpa pengawasan ketika berhenti solat di mana-mana masjid untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, sebelum ini terdapat beberapa kejadian kes cermin atau kenderaan dipecahkan di kawasan masjid sebelum penjenayah melarikan barang berharga ketika pemilik kenderaan masuk ke dalam masjid untuk solat.
“Di samping itu beberapa langkah turut diambil pihak Pejabat Agama Daerah, jawatankuasa masjid dan polis dalam usaha membendung masalah jenayah di kawasan masjid termasuk kes curi kenderaan khususnya motosikal,” katanya
.