KUANTAN – Penduduk kini semakin berani bertindak sendiri dengan membakar lori bauksit kerana kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang gagal menangani masalah berkenaan.
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, melihat trend kemarahan itu, kerajaan negeri digesa segera tangani masalah berkenaan sebelum tercetusnya masalah lebih rumit.
“Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan lagi perkara ini dan saya bimbang kejadian sama terus berulang memandangkan ini kali keenam kejadian lori terbakar berlaku.
"Jadi dalam hal ini, kerajaan atau pihak berkenaan perlu membuat sesuatu agar masyarakat tidak bertindak sendiri kerana ia boleh mengundang sesuatu yang lebih teruk lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurutnya, kebangkitan masyarakat di negeri ini dapat dilihat selepas kejadian maut membabitkan seorang guru akibat ditimba tayar lori bauksit yang tercabut dan terpelanting kelmarin.
“Selepas tragedi itu, masyarakat mula melihat kegagalan pihak berkuasa untuk menangani dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah tersebut.
“Alasan ini menyebabkan masyarakat nekad untuk mengambil tindakan sendiri dan ini akan mengundang pelbagai kejadian tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, Andansura menyuarakan kekesalan kerana perkara ini berulang kali dibangkitkan dalam sidang Dun, namun kerajaan negeri tidak bertindak untuk memperbetulkan keadaan ini.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan memberhentikan semua aktiviti perlombongan bauksit.
“Kita minta agar kerajaan dengar suara rakyat demi kesejahteraan semua penduduk di daerah ini,” katanya.