AFRIKA SELATAN - AFRIKA. Sepasang pelancong terkejut apabila terserempak dengan seekor singa muda yang merayau di tepi jalan di Taman Negara Kruger, di sini, baru-baru ini.

Memetik laporan Metro.co.uk, singa muda itu mengalami kecederaan serius akibat rantai besi yang melilit lehernya.
Bagaimanapun sangkaan bahawa mereka akan diserang oleh haiwan itu meleset apabila singa itu tidak melakukan serangan, sebaliknya memberi isyarat supaya rantai besi itu dilepaskan daripada lehernya.
Pasangan pelancong, Meliska Vijoen and Meike Pettit memaklumkan keadaan haiwan itu kepada pegawai taman berkenaan.
“Jelas menunjukkan haiwan itu ‘merayu’ minta dibantu,” Vijoen berkata demikian ketika memuatnaik gambar haiwan terbabit di media sosial.
Renjer hutan dalam pada itu dilaporkan telah menutup jalan utama taman negara terbabit demi memberi laluan kepada pasukan perubatan untuk mencari dan menyelamatkan singa itu.
Tidak lama kemudian, haiwan tersebut ditemui dan dibantu oleh pasukan perubatan taman negara terbabit.
Singa itu terpaksa menghabiskan masanya dibawah pemantauan unit perubatan taman negara sebelum dilepaskan kembali ke habitatnya.