JERTIH - Dua lelaki terpaksa berputih mata apabila lembu yang dipercayai dicuri mereka rentung selepas kereta yang digunakan untuk melarikan ternakan tersebut terbakar selepas terbabas.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, seekor lembu betina ditemui mati di dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang hangus terbakar di tapak pasar malam Bukit Kenak, di sini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, sebelum kejadian anggota kereta peronda polis terserempak dengan kereta suspek dalam keadaan mencurigakan di Kampung Jabi kira-kira jam 3.40 pagi.
Menyedari diekori polis , suspek bertindak melarikan diri ke arah Jertih tanpa mengendahkan arahan polis supaya berhenti.
"Bagaimanapun ketika sampai di Kampung Bukit Kenak, kereta suspek terbabas ke kanan jalan kemudian berasap lalu terbakar.
"Suspek  berjaya keluar daripada kereta yang sedang terbakar untuk melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya diberkas polis," katanya.
Anggota bomba dipanggil untuk memadam kebakaran kereta tersebut dan setelah api berjaya dipadam didapati terdapat seekor lembu rentung di dalamnya.