MUAR - Kira- kira 300 persatuan pengusaha industri kilang perabot dan tapak semaian di derah ini berkumpul bagi menunjukkan bantahan terhadap isu penangguhan kemasukan pekerja asing di negara ini.
Wakil persatuan industri perabot, Keh Wee Kiet berkata, masalah yang dihadapi ini telah menjejaskan perniagaan mereka sehingga menyebabkan beberapa buah kilang perabot terpaksa ditutup.
"Sehingga ke hari ini, sebanyak 14 buah kilang perabot terpaksa ditutup kerana isu kekurangan pekerja. Kita tidak mahu lebih banyak lagi kilang perabot ditutup kerana semua maklum bahawa daerah ini merupakan antara penyumbang ekonomi dalam sektor perabot.
"Industri kami menawarkan gaji yang agak tinggi berbanding pekerja asing, namun perkara itu dilihat tidak membantu menarik perhatian mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini," katanya kepada pemberita selepas berkumpul mengadakan bantahan di Kawasan Perindustrian Bukit Bakri Batu 8, di sini, pagi tadi.
Menurutnya, masalah ini semakin ketara apabila pekerja tempatan dilihat tidak berminat untuk bekerja dalam sektor melibatkan 3D iaitu kotor, sukar dan berbahaya.
"Sehubungan itu, kita menggesa agar pihak kerajaan mengkaji semula isu penangguhan pekerja asing ini supaya tidak membebankan industri di negara ini," katanya.