KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 47 tahun ditemukan mati terbaring dengan keadaan mulut dan kaki berikat, dipercayai terlibat dalam aktiviti seks ganas, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengawal keselamatan sebuah kondominium di Sri
Hartamas berhubung kejadian itu pada kira-kira 12.17 tengah hari tadi.
"Mangsa ditemui terbaring tanpa pakaian dalam keadaan mulut dan kaki berikat manakala alat sulitnya ditutupi kain.
"Pemerhatian awal oleh doktor patalogi daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang memeriksa mayat mangsa di lokasi kejadian mendapati mangsa kemungkinan mati akibat melakukan seks ganas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sharul berkata sebelum itu bapa lelaki itu telah beberapa kali menghubungi anaknya namun tidak berjaya dan telah meminta pemilik rumah yang diduduki anaknya itu untuk pergi menemui anaknya itu. 
"Pemilik rumah telah pergi ke rumah mangsa semalam namun tidakberjaya menemui mangsa sehinggalah beliau datang semula hari ini bersama tiga rakan serta pengawal keselamatan untuk mengesan mangsa di rumah berkenaan.
"Setelah pintu rumah mangsa dipecahkan mereka mendapati mangsa telah mati,"katanya.
Sharul berkata hasil pemeriksaan mendapati tiada kamera litar tertutup(CCTV) di tempat kejadian melainkan di dalam lif dan kawasan lobi.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. –Bernama