BATU PAHAT - Maklumat mengenai pencuri berlagak alim yang aktif melakukan jenayah mencuri tabung masjid di daerah ini yang menjadi viral di media sosial Facebook, baru-baru ini bercanggah dengan kejadian sebenar.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku di Surau Taman Rona, Parit Raja, kira-kira jam 12.30 tangah malam, Sabtu lalu bukan melibatkan kes kecurian tabung, sebaliknya pihaknya hanya menerima laporan mengenai kehadiran sebuah motosikal yang mencurigakan.
“Daripada laporan yang dibuat oleh orang awam, mereka ada ternampak kehadiran sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun setelah intipan dilakukan anggota polis kira-kira setengah jam di lokasi, tiada kejadian kecurian berlaku dan tiada individu berada di dalam surau terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Din lagi, kenyataan di media sosial berkenaan menyatakan suspek berkopiah ketika menyamun dan melarikan diri ke kawasan semak apabila bertembung dengan anggota polis turut bercanggah dengan kejadian sebenar.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, pihak polis hanya menemui sebuah motosikal dan beberapa peralatan di dalam bakul motosikal berkenaan, dan kini pihak polis akan terus memantau setiap kenyataan yang dikeluarkan di media sosial.
"Media sosial ini tidak seharusnya dijadikan medium untuk menyebarkan berita yang tidak benar kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan orang ramai," katanya.
No comments:
Post a Comment