KUALA LUMPUR - Beberapa keping gambar menjadi viral di laman Facebook berkaitan dengan
 sebuah acara melibatkan syarikat pembekal alat pemadam kebakaran dan juga anggota Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Gambar yang tersebut dilihat tidak wajar dan turut melanggar tatasusila masyarakat negara ini serta
bercanggah dengan adat orang Islam.
Sejak diviralkan, sebanyak 3.3 ribu orang berkongsi gambar ini di laman sosial mereka dan pelbagai
reaksi diperolehi daripada netizen.
Salah seorang pengguna Facebook meluahkan rasa kecewa beliau terhadap penganjur.
“Siapa yang buat ‘event’ macam ini dan siapa event manager? Untuk tarikan ramai orang, cara sebegini
 tidak perlu, biarlah yang bermanfaat dan berpendidikan,” tulisnya.
Ada juga yang merasakan bahawa insiden ini menjatuhkan imej pasukan bomba.
“Kenapa lah atur cara majlis ini tidak diteliti dahulu? Rosak imej mereka. Penat anggota yang lain
bertugas  demi amanah dan usaha mengangkat imej pasukan bomba," katanya.
Bagaimanapun, ada juga yang meminta agar netizen tidak mudah menuding jari menyalahkan pihak
tertentu dan memadam gambar tersebut.
“Jangan salahkan mana-mana pihak, mereka buat begitu mungkin atas permintaan penganjur.
Dengan satu gambar sahaja boleh menghancurkan periuk nasi.
"Saya sarankan agar gambar ini dipadam untuk kebaikan bersama," katanya
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM), Khirudin Drahman
berkata, insiden yang terjadi adalah secara spontan dan meminta maaf di atas kekhilafan mereka.
“Perkara ini terjadi adalah secara spontan dan berlaku di luar kawalan kami. Niat asalnya adalah untuk menyokong acara Larian Amal Bomba oleh pihak penganjur.
“Selain itu, para anggota bomba yang terlibat juga telah meminta maaf di laman Facebook. Kami
 mengharapkan agar masyarakat tidak salah faham dengan kejadian ini,” katanya ketika dihubungi
Sinar Online hari ini.
Larian Amal Bomba ini merupakan kerjasam JBPM bersama dengan beberapa syarikat dan agensi
swasta bertempat di Taman Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepung, Kuala Lumpur, semalam.
Di samping itu, wakil syarikat penganjur turut memohon maaf dan menjelaskan foto yang diviralkan
 itu bukan acara rasmi di majlis tersebut.
“Kami meminta maaf di atas insiden yang melibatkan sensitiviti orang ramai serta ingin menegaskan
bahawa kami tiada niat buruk terhadap pihak-pihak tertentu.
“Oleh itu, kami berharap orang ramai tidak mereka cerita yang boleh menggangu keharmonian negara ini,” katanya.