MEREKA yang biasa menggunakan tandas awam, pastinya mempunyai pengalaman tersendiri.
Pernahkah anda melihat dinding tandas awam dipenuhi dengan contengan daripada individu tidak bertanggungjawab.
Ada yang menampal iklan perniagaan, ada yang menulis nombor telefon dan ada yang meletakkan iklan bagi perkhidmatan seks.
Bagi Nora Yusri, 33, dia pernah menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang menulis nombor telefonnya di dinding tandas sebuah stesen minyak di Sentul.
“Saya mula rasa pelik kenapa tiba-tiba telefon bimbit saya sering dihubungi nombor tidak dikenali. Apabila saya jawab panggilan itu, orang yang menghubungi saya mengajak saya melakukan hubungan seks.
“Walaupun saya menafikan saya tidak menjalankan perkhidmatan seks, perkara tersebut berlarutan sehingga tidur malam saya terganggu kerana menerima panggilan berterusan daripada orang yang tidak dikenali. Saya bingung dengan situasi itu,” katanya.
Bukan sahaja dihubungi dengan kaedah panggilan telefon malah turut dihujani sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah.
“Akhirnya saya terpaksa menukar nombor telefon baharu kerana tidak tahan dengan keadaan yang berlaku,” katanya.
Persoalan mengenai panggilan tidak dikenali terjawab apabila rakan Nora mendapati nombor telefonnya ditulis di tandas awam.
“Kawan lelaki saya maklumkan nombor telefon saya ditulis di dinding tandas lelaki dan dia sempat memadamnya. Tapi waktu itu saya telah bertukar ke nombor baharu,” katanya.