MELAKA TENGAH - Padah memberikan maklumat tidak benar berhubung kes ragut, lima individu termasuk seorang bekas pemain sepak takraw negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu.
Bekas skuad sepak takraw kebangsaan, Mohd Firdaus Abd Ghani, 39; Siti Nor Adilah Abdul Rauff, 23 dan Goh Siew Chin, 45; dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM1,000 sementara KM Serivan, 22 dan Shazuwan Husin, 21, didenda RM1,000.
Hukuman terhadap tiga pesalah itu diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh sementara dua daripadanya dijatuhi hukuman oleh Majistret Norina Maludin.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Firdaus didapati membuat laporan palsu berkenaan disamun di Balai Polis Tanjung Minyak kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Disember 2016.
Siti Nor Adilah didapati membuat kesalahan sama membabitkan kerugian RM100 di Balai Polis Tengkera, pada 2.30 petang, 15 Disember lalu sementara Siew Chin melibatkan wang tunai RM480, di Pejabat Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah jam 5 petang, 1 Januari lalu.
Sementara di mahkamah berasingan, Shazuan pula didapati memberikan laporan palsu membabitkan kerugian RM50 di Balai Polis Kandang, jam 11.45 malam pada 12 Disember tahun lalu.
Serivan melakukan kesalahan sama di Pejabat Risikan Jenayah (D4), Bahagian Siasatan Jenayah IPD Melaka Tengah jam 3 petang 17 hari kemudian.
Kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.