IPOH - Seorang daripada 18 individu yang dipercayai mangsa eksploitasi pekerja di ladang kelapa sawit Kampung Tasek, Pengkalan Hulu dekat Gerik yang diselamatkan polis 26 Febrari lalu, mendakwa dirinya dijadikan hamba seks.     
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, hasil siasatan ke atas mangsa berumur 23 tahun itu mendapati mangsa mengaku dirinya menjadi hamba seks kepada pengurus ladang tersebut.
"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan berdasarkan maklumat yang diberikan mangsa, kita telah pergi ke lokasi yang dia dakwa dirogol untuk mendapatkan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.    
"Mangsa kini berada di Hospital Sungai Petani, Kedah, bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tian Kee berkata, Mahkamah Majistret Lenggong memberi tempoh tahanan reman ke atas seorang lelaki yang juga pengurus ladang tersebut selama tujuh hari bermula semalam untuk menyiasat kes itu.
Katanya, isteri suspek yang juga pengurus ladang itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.    
Seramai 18 warga tempatan termasuk lima kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan dalam operasi di daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek dekat Pengkalan Hulu.     
Sementara itu, Tian Kee berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pengkalan Hulu menemui seorang lagi mangsa dipercayai turut menjadi mangsa sindiket di ladang berkenaan.
Tian Kee berkata, remaja perempuan berumur 14 tahun itu dipercayai tiada di lokasi kejadian semasa polis menyelamatkan 18 individu terbabit.    
"Remaja itu ditemui di kawasan tersebut berseorangan ketika polis ke kawasan berkenaan kali kedua untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai kes rogol mangsa.    
"Polis percaya mangsa berada di lokasi lain semasa serbuan dilakukan dan apabila dia pulang ke kawasan rumah itu dia berasa takut kerana rumah tersebut telah kosong dan tidak tahu untuk pergi ke mana," katanya. - Bernama