KAHERAH - MESIR. Pihak berkuasa Mesir melancarkan siasatan ke atas pasangan warga Denmark selepas rakaman video dan gambar memaparkan mereka memanjat puncak Piramid Agung Giza dan beraksi bogel.
Rakaman berdurasi tiga minit yang dirakamkan pada waktu malam itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan pengguna media sosial di Kaherah.
CNN melaporkan apabila mereka tiba di puncak, wanita itu bertindak menanggalkan baju dan kemudiannya pasangan itu berpelukan.
Susulan insiden itu, Menteri Antikuiti, Khaled al-Anani telah merujuk kes itu kepada peguam negara untuk siasatan.
"Rakaman video pasangan pelancong asing yang menjadi tular itu menunjukkan mereka melanggar moral awal. Jadi, untuk mengetahui kebenaran dan tindakan yang bakal diambil, kes tersebut akan disiasat," menurut Kementerian Antikuiti dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Ahram Online, video terbabit dimuat naik di Youtube pada Rabu lalu oleh jurugambar dikenali sebagai Andreas Hvid yang sering memuat naik gambar dari sudut pandang tinggi di seluruh dunia dan kadangkala dalam keadaan berbogel.
Di bawah undang-undang Mesir, tindakan memanjat piramid boleh dikenakan hukuman. - NDTV
No comments:
Post a Comment