SELEPAS laporan mengenai seorang nenek yang hidup dalam keadaan daif tular di media sosial, timbul persoalan tentang bantuan yang sewajarnya disampaikan kepada warga emas tersebut.
Netizen mula mempersoalkan mengapa nasib Che Munah Che Man, 80, seolah-olah dipinggirkan dan tidak mendapat perhatian pihak berkaitan.
mStar Online mendapatkan kepastian daripada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berhubung perkara tersebut.
Pembantu tadbir siasatan Maik, Mohd Hisyamuddin Nordin berkata, pihaknya amat prihatin dengan kebajikan warga emas tersebut dan mengesahkan bahawa Che Munah ialah penerima bantuan zakat bulanan di Kelantan.
Keadaan rumah Che Munah yang serba daif.
"Menurut semakan pihak kami, penama merupakan penerima bantuan Maik sebanyak RM400 sebulan.
"Mengikut rekod, wang tersebut dimasukkan setiap bulan ke akaun Bank Simpanan Nasional penerima sejak 2007," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Jelas Mohd Hisyamuddin, bantuan bulanan yang diberikan sejak 2007 itu pada awalnya bernilai RM250 sebulan sebelum dinaikkan secara berperingkat kepada RM350 dan RM400 sebulan pada hujung 2017.
Kenaikan itu diberi selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan keperluan penerima bantuan.
"Kami tambah nilai bantuan bulanan itu memandangkan kos sara diri semakin meningkat dan nilai lama dirasakan tidak lagi sesuai.
"Mungkin dia perlukan untuk beli ubat-ubatan, susu atau lampin pakai buang untuk warga emas," ujarnya.
Gambar halaman pertama buku akaun bank CIMB Che Munah yang sempat dirakam oleh Mohd Zamri.
Tambah pegawai itu lagi, pihaknya turut menghulurkan bantuan sebanyak RM6,000 pada 2012 untuk tujuan membaik pulih rumahnya.
"Keadaan rumahnya sebelum ini lebih daif dari sekarang. Duit bantuan yang diberikan itu digunakan untuk membina lantai simen dan dinding bata.
"Sebelum ini, Che Munah tinggal di Pasir Mas. Kini, dia sudah berpindah ke Pasir Puteh selepas berkahwin dengan suami ketiganya, Abdullah Jusoh," kata Mohd Hisyamuddin sambil mengesahkan bahawa akaun bank tersebut masih aktif.
mStar Online pada Selasa melaporkan, seorang pemuda tersentuh selepas melihat keadaan seorang warga emas yang masih gigih mencari rezeki dengan menjual asam keping di sebuah pasar di Kelantan.
Che Munah memberitahu Mohd Zamri Ismail, 30, bahawa dia menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan tetapi mendakwa duit tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaunnya setiap kali dia cuba mengeluarkannya di bank.
Pemuda yang prihatin dengan nasib Che Munah itu turut memuat naik gambar akaun buku bank CIMB warga emas berkenaan ke Facebook bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepadanya.
No comments:
Post a Comment