Takkan nak tanam kat tepi rumah, lagilah tak logik” - Waris pesakit Covid-19 akhirnya buka mulut isu lewat kebumi jenazah
SIAPA yang tidak sedih ketika berdepan saat kehilangan orang tersayang, dan ditimpa dugaan berganda apabila urusan pengebumian jenazah mengalami masalah.
Begitulah yang terpaksa dihadapi seorang waris apabila jenazah datuk saudaranya yang meninggal dunia akibat Covid-19 lewat dikebumikan.
Kelewatan lebih 24 jam itu membabitkan beberapa tanah perkuburan di Lembah Klang yang 'menolak' untuk mengebumikan jenazah atas faktor kuota dan luar kariah.
Cucu saudara itu, Shahrul Hafis Said, 31, berkata, datuk saudaranya, Allahyarham Hawari Sulaimi yang berstatus pemastautin tetap (PR), meninggal dunia di Ampang, Selangor, Ahad lalu pada usia 61 tahun.
"Walaupun berstatus PR, arwah atuk telah berpuluh tahun menetap di Ampang. Saya sendiri telah dibesarkan oleh arwah sehingga usia saya 10 tahun.
"Kita faham kalau tanah-tanah kubur di kawasan sekitar dah penuh, tapi ada tanah kubur lain yang lebih besar masih tak terima jenazah atuk sebab dah cukup kuota pula.
"Bila ditanya oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) yang membantu menguruskan jenazah atuk, pengurusan kubur-kubur berkenaan timbulkan isu kuota atau luar kariah.
"Kalau ada kematian sudah tentu sesiapapun nak ia dipercepatkan dan mudah. Takkan nak kena tanam kat tepi rumah kot, lagilah tak masuk akal," katanya kepada mStar.
Petugas memakai PPE ketika menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19. -gambat hiasan foto FB SJPM
Hafis berkata, daripada enam tanah perkuburan yang dimohon termasuk satu di Ampang, pada awalnya hanya satu di USJ, Subang Jaya yang menerima jenazah untuk dikebumikan.
"Saya kena fikir keadaan nenek yang juga warga emas, pakcik dan makcik saya yang berada di Ampang kalau nak datang ke USJ agak jauh. Lebih-lebih lagi musim Covid-19 ni.
"Kalau boleh dapat tempat dekat untuk memudahkan ahli keluarga menziarah nanti. Masa tu kami merayu kalau dapat di kawasan Gombak pun tak apalah, masih lagi dekat," ujarnya.
Justeru, bapa kepada dua anak itu berasa amat sedih dan terkilan dengan kejadian yang berlaku sehingga merumitkan urusan jenazah datuk saudaranya.
"Rasa nak marah pun ada, sampai tak boleh fikir macam mana perkara ni boleh terjadi. Adakah ia disebabkan Covid-19 atau pilih bulu, saya tak pasti.
"Bagi saya, kalau orang meninggal... urusan jenazah sepatutnya dipermudahkan," katanya sambil menambah arwah datuknya pernah mengusahakan bisnes buah di Ampang.
Shahrul Hafis Said.
Bagaimanapun, Hafis amat bersyukur apabila jenazah datuk saudaranya akhirnya dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu di Gombak.
"Rezeki kami dan rezeki arwah atuk kerana dipermudahkan juga sebab ada waris lain yang batal saat akhir, jadi liang lahad yang telah digali tu boleh digunakan untuk kebumikan arwah atuk. Saya rasa lega dan bersyukur sangat," katanya.
1 comment:
Apa pengurusan kubur ni lupa ke diorg pun akan dikuburkan....menyusahkan jenazah org lain....jgn sampai jenazah sendiri Allah balas lagi teruk....sekadar mengata
Post a Comment