Nak masuk Navy tapi sebab satu tragedi, terpaksa jadi ‘kakak guard’... siap dapat tangkap pencuri - “Ibu cadangkan, saya fikir banyak kali”
MEMILIKI raut wajah yang manis dan ayu, namun gadis ini sedikit pun tidak segan apabila memilih kerjaya yang dianggap 'kurang popular' oleh kebanyakan individu.
Di kala rata-rata generasi muda mengimpikan untuk bekerja dalam pejabat berhawa dingin dan berpenampilan menarik, gadis ini pula selesa menyarung uniform berwarna putih serta berseluar hitam.
Mengakui tidak pernah terfikir malah pernah menolak cadangan ibu untuk bergelar seorang pengawal keselamatan, siapa sangka, diam tak diam gadis ini sudah sembilan bulan memilih kerjaya berkenaan.
Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Liyana Azhar, 23, berkata segala-segalanya bermula kerana satu kisah tragis yang mana dia ditimpa kemalangan kira-kira setahun lalu.
"Sebenarnya saya sendiri tak jangka boleh jadi pengawal keselamatan namun ini rezeki saya ketika ini. Dipendekkan cerita, sebelum ini saya bekerja di kedai gajet dan telefon bimbit. Satu hari saya kemalangan ketika menunggang motosikal, menyebabkan bahu kanan patah.
"Doktor terpaksa masukkan besi dan akibat kemalangan itu, saya sukar buat kerja berat sebab kekuatan tangan dah tak sama. Bayangkan luluh hati saya sebab masa tu, saya sedang buat persediaan nak memohon masuk akademi tentera laut.
"Saya menangis dan down... ibulah yang tenangkan saya. Lebih malang bila majikan di kedai gajet berhentikan saya sebab kemalangan itu," cerita gadis yang menetap di Seri Manjung, Perak ini.
Menurutnya, dia reda dengan takdir dirinya dan bangkit memulakan episod baharu dengan mula berjinak-jinak menceburkan diri dalam bisnes produk kecantikan wajah secara online.
"Tapi boring juga sebab banyak masa dekat rumah. Lagipun masa tu dah pandemik Covid-19, jualan pun tak menentu.
Nurliyana sudah bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan sejak Oktober tahun lalu.
"Saya fikir kena cari kerja juga dan masa itu, ibu cadangkan mengapa tidak saya cuba kerja pengawal keselamatan. Ibu pun pengawal keselamatan juga tapi dah naik pangkat sikit.
"Masa ibu cadangkan tu, saya fikir banyak kali juga. Memandangkan ketika pandemik ni sukar nak cari kerja, ditambah pula keadaan saya yang tak boleh buat kerja berat, saya pun cuba.
"Saya mula kerja sebagai pengawal keselamatan pada Oktober 2020 di sebuah pasar raya dan kemudian di bawah bumbung syarikat sama, saya dipindahkan ke pejabat agensi kerajaan hinggalah sekarang," kata anak ketiga daripada lima adik beradik ini.
Nur Liyana mengakui pada peringkat awal bergelar pengawal keselamatan, dia agak janggal melakukan tugasan rondaan dan sebagainya namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Bayangkan luluh hati saya sebab masa tu, saya sedang buat persediaan nak memohon masuk akademi tentera laut.
NUR LIYANA AZHAR
Malah gadis ini berkongsi kisahnya yang pernah menangkap pencuri di pasar raya serta beberapa kali mengalami gangguan misteri ketika bertugas.
"Masa mula-mula ditempatkan di bangunan agensi kerajaan, saya semangat datang awal pagi. Pukul 6 lebih dah sampai. Memandangkan ramai yang bekerja dari rumah, maka sunyi sikitlah.
"Masa sedang duduk dekat pondok pengawal, tiba-tiba dengar bunyi tapak kaki. Bila jenguk, tak ada orang. Kemudian pintu gril tiba-tiba terbuka. Tapi saya bertawakal dan berdoa saja dan cuba sibukkan diri telefon kawan.
"Alhamdulillah, dua tiga hari awal saja 'terkena' selepas itu tiada dah. Saya tak bertugas syif malam kerana pengawal keselamatan lelaki yang ditugaskan. Tapi selalulah dengar cerita seram daripada mereka," katanya.
Beberapa kali berkongsi videonya mengenakan uniform kerja di aplikasi TikTok, Nur Liyana berkata dia banyak menerima komen dan reaksi netizen yang sukar mempercayai dirinya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Nurliyana menjual produk kecantikan secara online sebelum bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Mula-mula kawan-kawan sendiri pun sukar percaya... mereka tanya tak malu ke pakai uniform ni. Begitu juga dengan orang yang saya temui dan netizen... mereka tanya macam-macam antaranya kenapa tak sambung belajar?
"Saya jawab, bukannya tiada tawaran tapi belum rezeki untuk saya sambung belajar. Kami adik beradik dibesarkan oleh ibu seorang... sejak kecil lagi ibu kami bergelar ibu tunggal. Saya fikir nak bantu ibu dan keluarga dulu.
"Namun saya terharu ramai yang puji juga sebab tak segan dan tak memilih pekerjaan. Bagi saya, ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk memilih pekerjaan. Apa salahnya cuba apa saja pekerjaan, asalkan halal dan memberikan pendapatan," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment