Nampaknya pengumuman barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dijangka ditangguhkan ke minggu depan, menurut laporan The Straits Times berpengkalan di Singapura.

Laporan media tersebut melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menangguhkan pengumuman senarai menteri dalam pentadbirannya selepas terdapat pertikaian isu melibatkan lantikan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memeningkan kepalanya.

Malah, laporan itu juga berkata setakat ini tiada majlis angkat sumpah barisan menteri kerajaan PH-BN dijadualkan berlangsung pada minggu ini dan mungkin diadakan pada minggu depan.

Anwar juga dilaporkan masih belum menyerahkan senarai penuh barisan Kabinetnya kepada Yang di-Pertuan Agong, kata The Straits Times lagi yang memetik sumber dalaman parti itu.

Setiausaha akhbar Anwar dalam laporan sama juga dipetik memberitahu bosnya hanya dijadualkan berada di pejabatnya sepanjang Khamis, tanpa maklumat tersedia mengenai pengumuman Kabinet.

“Keadaan sekarang tidak berubah kerana begitu banyak kumpulan yang berbeza melobi,” kata seorang pegawai PKR dalam laporan itu.

Difahamkan, Anwar juga meminta pelanjutan masa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melengkapkan barisan pentadbiran dalam kerajaannya itu.

Terdahulu, tercetus spekulasi Anwar bakal melantik anak muridnya yang juga Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Namun, langkah itu menimbulkan kritikan banyak pihak kerana dilihat bertentangan dengan prinsip dan perjuangan gabungan tersebut yang menentang rasuah dan mempertahankan integriti.

Untuk rekod, Zahid masih sedang berdepan pendakwaan di mahkamah bersama-sama tiga Ahli Parlimen dalam gabungan itu yang juga masih sedang berdepan perbicaraan.

Sebelum ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan menggesa Anwar tidak melantik kumpulan kluster mahkamah dalam barisan pentadbirannya.

Bersih membuat pendirian ahli politik yang berdepan pendakwaan di mahkamah perlu diketepikan.

“Bersih berpandangan bahawa sehingga dan melainkan kedua-dua pihak pendakwaan dan kehakiman benar-benar bebas daripada pengaruh politik, ahli politik yang masih mempunyai kes mahkamah mengambil jawatan eksekutif adalah langsung tidak boleh diterima.

“Ini kerana sebarang pembebasan akan dilihat sebagai pemberian pengampunan kepada mereka yang di pihak Eksekutif, sekalipun jika kes mereka secara meritnya layak dibebaskan.

“Hal ini akan melumpuhkan keyakinan rakyat terhadap kedua-dua AGC dan kehakiman,” katanya.

Bersih juga mengingatkan bahawa gerakan politik sedemikian boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti kerajaan Anwar dan mencemarkan reputasi negara.

Bersih juga meluahkan kebimbangan dengan cadangan pihak tertentu dan individu supaya Zahid dipertimbangkan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam pembentukan kabinet baru nanti.

“Zahid masih dalam perbicaraan untuk 47 pendakwaan jenayah pecah amanah dalam kes Yayasan Akalbudi.

“Walaupun beliau telah dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah skim visa VLN oleh Mahkamah Tinggi pada 22 September lalu, pasukan pendakwaan juga telah mengemukakan rayuan untuk kes tersebut,” kata Bersih.

Bersih juga menggesa semua parti dalam kerajaan campuran supaya mengelak daripada menamakan individu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah untuk pertimbangan Anwar.

“Wakil rakyat yang sedang menjalani kes rasuah seperti (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng, Presiden Muda) Syed Saddiq dan (Pengerusi BN Sabah) Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, tidak boleh dilantik ke dalam kabinet sehingga kes mereka selesai sepenuhnya oleh mahkamah tanpa sebarang campur tangan Eksekutif melalui Jabatan Peguam Negara,” katanya lagi. Agendadaily