JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana memaparkan aksi dua lelaki melempar wang ke arah seorang wanita yang sedang membaca kitab suci al-Quran, lapor laman berita Suara.com.
Berdasarkan klip video tersebut, seorang qariah dilihat sedang mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran di atas pentas dalam satu majlis.
Seorang lelaki memakai kopiah, berkemeja gelap dan berkain pelekat naik ke atas pentas lalu melempar beberapa keping wang kertas ke arah kepala qariah yang dikenali sebagai Nadia Hawasy itu.
Tindakannya diikuti oleh seorang lagi lelaki yang turut menyisipkan wang kertas pada tudung Nadia.
Meskipun jelas kelihatan tidak selesa dengan tindakan tersebut, Nadia meneruskan bacaannya dengan tenang sehingga habis.
Menurut Nadia, dia diundang ke majlis tersebut untuk mengalunkan bacaan al-Quran, namun mengakui berasa marah dan kesal dengan tindakan kedua-dua lelaki berkenaan.
“Ketika saya disawer (dihujani dengan wang), saya masih belum selesai mengaji. Mustahil untuk saya menegur mereka atau menghentikan pembacaan dan turun dari pentas kerana ia termasuk dalam adab membaca al-Quran.
“Namun, saya amat marah dan kesal atas perbuatan itu,” ujarnya.
Insiden itu turut mendapat perhatian Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang menyifatkan perbuatan dua lelaki tersebut sebagai biadab.
“Tindakan tersebut adalah haram dan melanggar norma-norma. Hentikan majlis dan tindakan seperti itu,” kata Pengerusi MUI, Cholil Nafis. – Agensi
No comments:
Post a Comment