Kerajaan Singapura bersetuju untuk meminjamkan pakar mereka bagi berkongsi pengalaman dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Nga Kor Ming.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memberitahu dalam wawancara dengan Astro Awani, langkah menerima bantuan pakar Housing Development Board (HDB) dari Singapura itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam pembangunan perumahan di negara republik itu dengan KPKT.

“Yang sebenarnya saya nak bawa satu berita baik, tadi disebutkan HDB (Housing Development Board) dimana kita telah mendapat persetujuan daripada kerajaan Singapura, pakar-pakar HDB akan masuk ke KPKT mungkin bulan depan untuk berkongsi pengalaman kejayaan mereka apakan dilakukan.

“Bagi saya senang sahaja, yang baik dijadikan teladan yang buruk dijadikan sempadan

“Kita akan belajar daripada mana-mana kajian kes apakah amalan yang terbaik akan kita contohi, Singapura ke, Jepun ke, China ke, kita tak kira, yang penting kesejahteraan rakyat kita jaga,” katanya semasa wawancara dengan Astro Awani malam tadi.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen DAP itu berkata kerajaan memberi perhatian yang khusus dalam sektor perumahan kerana ia melibatkan banyak industri yang turut sama mempunyai peranan masing-masing.

“Tentang perumahan ini, kita wajib beri perhatian khusus kerana ia bukan sahaja satu pembinaan tetapi ia melibatkan lebih kurang persekitarannya, ekosistem 200 industri, kontraktor, pemasang paip dan lain-lain, pinjaman kewangan, perbankan, pasaran, semua.

“Oleh kerana itu sektor pembangunan perumahan ini dekat negara kita, ya pada masa yang sama ada masalah tapi juga banyak pencapaiannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kor Ming juga berkata kerajaan akan menyenaraihitam pemaju perumahan yang terlibat dalam projek sakit sebelum ini.

“Oleh kerana itu kita lihat, mana projek-projek yang betul-betul manpan jauh berdaya saing, dimana kerajaan akan memberi pengiiktrafan dan kawal selia tetap ketat.

“Dan oleh kerana itu kita kena pastikan sejumlah projek-projek yang dulu projek sakit, pemaju perumahan yang terlibat maka mereka akan disenaraihitamkan,” katanya.