Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan terlupa bahawa bukan Perikatan Nasional (PN) sahaja parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi teman sebatal mereka juga adalah saingan yang turut menyebarkan perang kognitif. Agendadaily
Mohamad atau Tok Mat yang mengalahkan calon PH, PN, Pejuang dan PSM dalam perebutan kerusi Parlimen Rembau dalam PRU-15 lalu, memberi alasan perang kognitif yang dilancarkan pihak lawan menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam sejarah.
Kognitif membawa maksud proses mental untuk mentafsir, mempelajari, dan memahami sesuatu.
“Terus terang, saya nyatakan bahawa sememangnya menjangka PRU15, adalah suatu pertempuran yang amat sukar tetapi tidak saya sangka, sama sekali bahawa, ia akan menjadi separah, dan seteruk ini.
“Bukan sahaja bacaan parti tersasar, bahkan analisis, pelbagai kajian oleh pelbagai entiti bebas, juga jauh meleset.
Malah segala analisis pilihan raya yang kita dapati dari sumber dalaman dan ‘polling agency’, menunjukkan bahawa, kita akan menghadapi saingan sengit,” katanya menurut BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam ini (11 Januari 2023) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Mengula lanjut, Tok Mat berkata parti lawan telah menanam sentimen dalam kalangan rakyat bahawa UMNO itu rasuah, kotor, gila kuasa dan segala kata nista, yang menjengkelkan.
Untuk rekod, isu penglibatan pemimpin UMNO dan keluarga mereka dalam rasuah sudah lama berlaku, tetapi kemuncaknya apabila ia melibatkan Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya berkaitan kes SRC International.
Beliau juga kini berdepan beberapa lagi perbicaraan, termasuk penyalahgunaan kuasa melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad – skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia yang membabitkan berbilion-bilion ringgit.
Pada masa sama, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor juga pada 1 September tahun lalu didapati bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berhubung projek solar di Sarawak.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Rosmah, 70, didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Selain itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berdepan puluhan kes jenayah, termasuk rasuah, melibatkan dana Yayasan Akalbudi dan pelaksanaan sistem visa luar negara (VLN) ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.
1 comment:
PN pun pernah tidur sebantal dgn BN melalui kerajaan tebuk atap dan jika tidak ditolak oleh BN selepas PRU15 sudah pasti PN akan tidur sebantal kali kedua dgn BN. Itu yang tidak sabar2 buat PC membentuk kerajaan walaupun undi masih dikira dan mendakwa telah menerima surat dari istana jam 3 pagi. Maka berserulah sekalian alam... "Dah cukopp jommlahh, melebihi daripada cokupp" ... namun apakan daya hajat tidak kesampaian
Post a Comment