Enam maut selepas van persiaran yang dinaiki pelancong dari Pulau Pinang terbabit nahas di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands – Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 1.15 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki.

Van terbabit dipercayai terbabas mengakibatkan enam daripada penumpang maut di lokasi.

“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan penyelamatan.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada lima wanita dan seorang lelaki.

Mereka yang menaiki van dikatakan kumpulan pelancong dari Pulau Pinang dan selesai mengunjungi Genting Highlands.

Lapan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Bentong dan Hospital Kuala Lumpur.