Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa menjadi kerajaan atau tidak bukan tanda Allah reda atau murka.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa PAS tidak pernah memperguna atau menunggang agama dalam perjuangan politik parti itu.

Katanya dakwaan mengukur keredaan Allah hanya kepada parti yang membentuk kerajaan sahaja adalah kenya­taan yang tidak tepat.

“Menjadi kerajaan atau tidak bukan tanda Allah reda atau murka. Kalau itulah ukurannya, Nabi Muhammad tak jadi pemimpin di Mekah bukan bermakna baginda tidak mendapat keredaan Allah.

“Kerajaan Firaun yang zalim jadi pemimpin bukan bermakna Allah reda,” katanya menurut laporan Utusan.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Zahid yang mendakwa mana-mana parti yang menjadikan Islam sebagai tunggangan mereka tidak akan mendapat keredaan Allah.

Memetik laporan FMT, Zahid berkata terbukti apabila ada parti yang memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) gagal membentuk kerajaan, sebaliknya UMNO yang tidak memenangi banyak kerusi dapat menganggotai kerajaan perpaduan.

“Kalau siasah jadi matlamat dan Islam jadi tunggangan, biarpun kerusi yang diperolehi banyak, tetapi tidak jadi kerajaan kerana tidak ada reda daripada Allah,” kata Timbalan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) itu tanpa menamakan mana-mana parti.

“Biarpun sedikit, tapi kita (UMNO) jadi kerajaan, maka gunakan kedudukan itu bukan untuk menzalimi sesiapa, sebaliknya kita mahu menjaga Islam dengan benar.”

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata PAS juga tidak pernah menunggang agama sebaliknya menjadikan agama sebagai panduan dalam perjuangan.

“Kita ikut apa yang Allah perintah walaupun dari segi politik kita rugi seperti menutup premis judi menyebabkan kaki judi tidak akan undi kita, namun kita buat kerana Allah mela­rang perjudian dan tiada agama membenarkan perjudian,” katanya.

Menurutnya jika dilihat kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bermakna BN sebenarnya yang tidak mendapat keredaan Allah.

“Kalau ikut logik yang beliau (Zahid) nyatakan, BN kalah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor sebab tidak mendapat keredaan Allah lah,” katanya