Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan lantikan anaknya, Nurul Izzah adalah untuk membantu proses tender berjalan dengan teratur.

Perdana Menteri itu berkata lantikan anaknya itu akan dapat memastikan ketelusan dalam pentadbiran serta memantau urusan perolehan tender kerajaan supaya teratur, ia walaupun pelbagai pihak mempertikaikan langkah tersebut.

“Saya terima baik teguran. Saya jelaskan, itu berbeda dengan pengalaman yang lalu, soal upah dan ganjaran. Dia datang untuk bantu, tiada kedudukan yang dipersoalkan iaitu satu ketelusan (dalam urusan pentadbiran), akan pastikan supaya kontrak tender teratur. Itu saja.

“Bukan untuk ambil projek. Orang kritik, kalau ikhlas saya tiada masalah. Saya mahu supaya tiada amalan tidak sihat,” katanya dipetik laporan BH.

Mengulas kritikan mengenai amalan nepotisme, Anwar menjelaskan itu berlaku jika seseorang itu diberi jawatan untuk tujuan menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mahu mendapat upah yang tinggi.

“Jawatan yang berkait dengan JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan MOF (Kementerian Kewangan) dan tiada ganjaran. Setakat ini tak pasti ada pejabat atau tak, (tapi) dia kena cari, tiada pejabat pun tak boleh jugak,” katanya lagi.

Izzah menjadi perhatian selepas memberitahu media bahawa Anwar melantik beliau sebagai Penasihat Kanan Ekonomi sejak 3 Januari lalu.

Bagaimanapun beberapa pihak termasuk daripada Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai satu bentuk amalan nepotisme yang tidak sihat.

Anwar juga sebelum ini mempertahankan pelantika Izzah itu dibuat berdasarkan kelayakannya.

Katanya, Izzah mempunyai ijazah kejuruteraan dan bidang dasar awam dari Universiti Johns Hopkins di AS.

Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti-rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan langkah Anwar melantik Izzah boleh dilihat sebagai kembalinya amalan kronisme dan nepotisme di negara ini.

“Pada pandangan kami, ia memberi isyarat yang salah dan saya khuatir jika tidak diperbetulkan, ia akan diambil kira dalam persepsi umum di negara ini.

“Persepsi hari ini ialah kronisme telah kembali dan nepotisme telah menyelinap masuk, dan ini tidak baik,” kata Presidennya Muhammad Mohan dipetik laporan Malaysiakini.