KUALA LUMPUR: Laporan media semalam mengenai seorang pelawak ditahan di Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi dua bulan lalu, kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menunaikan umrah menjawab persoalan mengenai 'kehilangannya' dalam beberapa persembahan kumpulan lawak popular yang dianggotainya.
Sebelum ini, kumpulan berstatus legenda itu tampil tanpa pelawak terbabit ketika membuat persembahan hingga mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat mereka.
Tambahan pula, kumpulan itu baru saja bergabung kembali dan aktif mengadakan persembahan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Peminat mula menyedari persembahan kumpulan lawak ini 'tidak cukup korum' sejak pertengahan November ketika mereka mengadakan persembahan antaranya di Sabah.
Bagaimanapun, tiada siapa yang berprasangka buruk terhadap ketiadaannya kerana menyangka dia tidak sihat atau ada komitmen lain.
Sementara itu, cubaan Harian Metro mendapatkan komen anggota kumpulan terbabit tidak berjaya apabila mereka tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.