SUBANG JAYA: Pelawak Saiful Apek yang ingin membuat tuntutan sebanyak RM200,000 terhadap penerbit filem David Teo terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana tuntutan itu sebenarnya telah dibatalkan oleh mahkamah.
Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff berkata, dia tidak tahu mengenai pembatalan tuntutan berkenaan kerana tidak dimaklumkan oleh peguamnya sebelum ini.
"Tuntutan tersebut dibuat sejak tahun 2005 lagi dan saya terkejut apabila dia (David Teo) menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan kepada program hiburan Melodi di TV3 pada Ahad lalu dengan mengatakan kes berkenaan sudah ditutup. Saya langsung tak tahu apa-apa.
"Malah peguam saya sendiri tidak memberitahu hal itu kepada saya. Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan keputusan mahkamah seperti dinyatakan pihak yang satu lagi (David)," katanya.
Apek berkata demikian pada sidang media khas di Tease Restaurant, Subang Avenue, di sini, petang Selasa, bagi menjelaskan isu pergelutan antaranya dengan David.
Terdahulu dalam laporan akhbar sebelum ini, Apek mendakwa David yang juga pemilik syarikat Metrowealth International Group (MIG) menganiayanya apabila gagal membayar wang pelaburan sebanyak RM200,000 bagi kerjasama melaksanakan projek dua buah filem iaitu Anak Mami Kembali dan Lady Boss.
Menurut Apek, dia ditawarkan berlakon dalam kedua-dua buah filem tersebut dengan bayaran RM100,000 sebelum ia dilaburkan semula untuk dijadikan sebagai kos pembikinan filem berkenaan.
Dia juga dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM200,000 atau 10 peratus sebagai penerbit bersama.
Bagaimanapun Mahkamah Seksyen, Shah Alam membatalkan tuntutan tersebut.
Dalam pada itu Apek bertegas, tuntutan yang dilakukannya itu bukan ingin mencetuskan isu atau memfitnah produksi berkenaan.
"Saya tidak akan menimbulkan isu tuntutan berkenaan sekiranya ia tidak benar, tetapi nak buat macam mana, mungkin saya kurang arif tentang hal kontrak yang diberikan kepada saya sebelum ini.
Tambah Apek, insiden itu membuatkan dia merancang untuk menjadi sukarelawan dengan menubuhkan Biro Kebajikan Eksklusif Masyarakat Artis dan Seni (KEMAS) bagi membantu para artis memahami tentang isu kontrak dalam sesebuah produksi.
"Dengan pengalaman yang telah dilalui, banyak pengajaran yang saya peroleh. Sebab itu saya ingin menjadi sukarelawan di mana menerusi KEMAS, artis-artis yang kurang memahami tentang hal-hal kontrak bekerja di bawah sesebuah produksi boleh merujuk kepada saya,” katanya...Mstar
1 comment:
sabar laa apek.. nk wtpe lagi klau dh mmg org tu plan tipu kita awal2 kn...
Post a Comment