Anngota Polis berkawal di Pintu Masuk dewan

Kemaskini 4.30 Petang

Polis Berkawal Mesyuarat AGM, Isa samad tak hadir

Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Permodalan Felda (KPF) ke-31 berlangsung pagi ini dengan saringan polis yang agak ketat di pintu masuk dewan mesyuarat.

Anggota polis kelihatan berkawal di pintu masuk ke Dewan Perdana Felda, tempat mesyuarat akan berlangsung.

Tinjauan ringkas Malaysiakini di kalangan perwakilan di luar dewan rata-rata berpendapat kehadiran polis sedikit lebih ramai pada mesyuarat tahun ini berbanding tahun lepas.

Pihak urusetia mesyuarat mengesahkan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad tidak akan hadir ke mesyuarat kali ini.
Keahlian Isa dalam KPF sebelum ini menimbulkan pertikaian dan
bantahan beberapa pihak kerana beliau bukan seorang peneroka, anak eneroka mahupun kakitangan Felda.

Mohd Isa merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan beliau dilantik secara kontrak sebagai pengerusi Felda.

Semalam, mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membekukan sementara keahlian Isa dalam koperasi tersebut.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.

Jika keahliannya tidak dibekukan, Isa dipercayai akan dicadang untuk
dilantik sebagai pengerusi KPF yang baru dalam mesyuarat hari ini.


Kemaskini 4.30 petang.

Walaupun dicatat dalam agenda mesyuarat, mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad tidak meneruskan pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai anggota lembaga pengarahnya.

Keputusan itu dicapai dalam AGM ke-31 koperasi itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut perwakilan, nama Isa cuba dicalonkan perwakilan sewaktu agenda memilih anggota lembaga berlangsung namun ditolak kerana keahliannya dibekukan mahkamah buat sementara waktu.

Di bawah Undang-undang Kecil fasal 36(1) dan 36(2), Lembaga Felda dikehendaki melantik tiga orang calon dari kalangan ahli koperasi untuk menganggotai Lembaga KPF.

Dalam buku agenda mesyuarat, Isa antara tiga calon yang dinamakan Felda untuk menganggotai Lembaga KPF bagi sesi 2012/2013. Dua lagi nama yang dicalonkan, dilantik dalam mesyuarat hari ini. Malaysiakini

________________________________________________________________