Penasihat MyWatch S Gobi Krishnan berkata keadaan Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan, yang ditembak Sabtu lalu, kini dikatakan semakin teruk.

Gobi Krishnan berkata pemindahan Sanjeevan ke Hospital Serdang sedang diatur supaya peluru yang tersangkut di tulang rusuknya dapat dikeluarkan melalui pembedahan.

"Keadaan beliau semakin teruk dan kami sedang atur perpindahannya ke Hospital Serdang. Beliau demam dan ia semakin teruk," kata Gobi sewaktu dihubungi.

Beliau bercakap dari Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, tempat Sanjeevan diwadkan sejak dua hari lalu.

"Beliau ditahan di sini selama dua hari kerana mereka kata Hospital Serdang belum beri kebenaran untuk beliau dipindahkan," katanya.