Bekas pengurus restoran dipenjara 12 tahun rogol gadis bawah umur
Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap bekas pengurus restoran kerana kesalahan merogol gadis bawah umur yang kemudian dikahwininya.
Hakim Ummu Khaltom Abd Samad memutuskan Riduan Masmud, 40, bersalah merogol pelajar perempuan yang ketika kejadian berumur lingkungan 12 tahun, kira-kira jam 9 pagi hingga 10 pagi di dalam sebuah kereta di tepi jalan dekat kawasan Air Terjun Kionsom di Inanam pada 18 Februari tahun lalu.
Ummu Khaltom berkata, bapa kepada empat anak itu juga akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun setelah tamat menjalani hukuman itu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Beliau turut memerintahkan Riduan membayar wang jaminan RM15,000 dengan dua penjamin yang seorang daripadanya adalah isterinya.
Terdahulu, Ram Singh, peguam yang mewakili Riduan ketika merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan, berkata tiada elemen paksaan dan keganasan dalam kejadian itu selain Riduan bertanggungjawab dengan mengahwini gadis itu serta menjaga keluarganya.
Beliau berkata, Riduan juga menghadapi tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu kerana memberi rasuah kepada bapa mangsa pada April tahun lalu, yang dijangka bersidang bulan ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin, berkata tertuduh tidak boleh menggunakan alasan perkahwinan untuk melarikan diri daripada kes rogol yang dilakukannya sebelum mengahwini gadis itu.
Raja Zaizul Faridah berkata, berikutan kejadian itu, gadis berkenaan tidak lagi bersekolah selain menjadi suri rumah pada usia muda.
Sementara itu, ibu saudara mangsa dalam nada sebak ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berharap hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada tertuduh.
"Saya harap anak saudara saya dapat kembali bersekolah selepas memohon untuk bercerai. Saya tahu dia amat tertekan dengan apa yang berlaku sehingga tidak dapat menyambung pelajaran di sekolah menengah," katanya.
Beliau berharap dapat kembali menjaga anak saudaranya itu yang kini tinggal bersama bapanya agar beliau dapat meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang doktor kerana memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan.
Pada 20 Mei 2013, Riduan memberitahu mahkamah dia sudah mengahwini gadis itu, bagaimanapun pada 6 Jun tahun sama Jabatan Peguam Negara berkata, pendakwaan terhadap pengurus restoran itu akan diteruskan.
Hadir selaku peguam pemerhati ialah Mary Lee bagi Sabah Women's Action Resource Group, Women's Centre for Change, Penang, Sisters in Islam dan Mama Anne of Bukit Harapan manakala peguam Mary Florence Gomez bagi Persatuan Undang-undang Sabah dan Voice of the Children Malaysia. - Bernama, 3 Februari, 2014.
2 comments:
mohon pencerahan serta penjelasan dari pihak yang berwajib,adakah 12 tahun pejara atas kesalahan merogol bersamaan hukumanya dengan perintah allah swt.?
Pd masa yg sama isterinya (isteri-isterinya) dan anak jika ada, juga terhukum secara tidak adil selama mana kena penjara dan selepasnya.
Post a Comment