SHAH ALAM -‎ "Memanglah hudud, bagi orang Islam wajib," demikian respons ringkas Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya berkenaan kenyataan Ketua Urusan Ulama, Pas Kawasan Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman yang berkata haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud‎.

Memperincikan dengan lebih lanjut, Hadi berkata beliau bersetuju dengan kenyataan tersebut.

‎"Betullah tidak boleh, iya," katanya kepada Sinar Online selepas selesai program Bicara Minda bersamanya di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya Pas masih teguh  berada dalam PR walaupun parti itu tidak sependapat dalam beberapa perkara dengan parti komponen yang lain.

"Kita masih dalam PR dan saya menghormati penyokong Pas di Permatang Pauh," katanya.

Terdahulu, Badrul berkata, hujahnya berkenaan haram mengundi calon menolak hukum hudud adalah bertepatan dengan maksud Surah an-Nisa ayat 85 .

"Oleh itu, membantah dan mempertikaikan hudud akan merosakkan akidah umat Islam," katanya.