SEPANG – Niat seorang lelaki untuk ke tempat kerja terbantut selepas dia dan keluarganya disamun sekumpulan lelaki di Sungai Pelek, di sini, Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu bagaimanapun berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

Rakaman video berdurasi dua minit 50 saat itu kini menjadi viral di laman blog dan telah dikongsi lebih daripada 18,000 pengguna di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, ketika kejadian  mangsa berusia lingkungan 20-an sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

Secara tiba-tiba tiga lelaki dipercayai warga tempatan bersenjatakan parang dan pemutar skru memanjat pagar dan meluru masuk.

“Suspek kemudian mengugut ahli keluarga mangsa yang berada di ruang ramu dan mula menggeledah. Suspek melarikan telefon bimbit, barang kemas, komputer riba, dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah kira-kira RM10,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Tada sebarang kecederaan dilaporkan pada semua mangsa dan pihaknya masih memburu suspek berdasarkan rakaman CCTV. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.