Nuffnang

Tuesday, May 19, 2015

Amat Membimbangkan : Hutang k'jaan pusat RM596.8b setakat Mac


Jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada akhir Mac lepas sebanyak RM596.8 bilion atau 52.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata daripada jumlah itu sebanyak 97 peratus atau RM579.2 bilion merupakan hutang domestik manakala RM17.6 bilion atau tiga peratus lagi membabitkan pinjaman luar pesisir.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (Taiping-DAP) dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini
hari ini.

Nga meminta kerajaan menyatakan jumlah hutang sebenar negara setakat April 2015 serta langkah kerajaan untuk mengurangkannya.

Chua berkata Kerajaan Persekutuan juga kekal komited dalam memastikan paras hutangnya tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

"Bagi memastikan paras hutang kerajaan kekal rendah dan terurus, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat," katanya.

Selain langkah penjimatan seperti memastikan peruntukan dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan, kerajaan juga menetapkan pinjaman yang dibuat harus mampu memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

Beliau berkata kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal serta pengurusan hutang yang baik, terus diberikan penekanan bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis.

Katanya kerajaan juga akan memastikan hutang luar negeri sentiasa berada kurang daripada RM35 bilion, dan sehingga akhir Mac lepas, hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan berjumlah RM17.6 bilion, jauh lebih rendah daripada had yang dibenarkan mengikut Akta Pinjaman Luar 1963.


Klik Sini Untuk Like dan dapatkan Berita terkini 

- Bernama 

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung