SUNGAI PETANI – “Kami akan tetap mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak hospital atas kecuaian yang berlaku agar ianya tidak berulang."
Demikian tegas Norsyazwani Mohd Nasirudin, 25, yang mendakwa menjadi mangsa kecuaian doktor sebuah hospital, di sini apabila kain pembalut luka (gauze) tertinggal di pintu rahimnya menyebabkan dia menanggung kesakitan.
Menurutnya, pihaknya akan meminta nasihat daripada beberapa pihak sebelum mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan.
Dakwanya, selepas melahirkan anak pada jam 2.10 pagi 29 September lalu, Norsyazwani berasa sakit di bahagian perut dan menyangka ia kesan akibat jahitan sehingga sukar untuk bergerak biarpun sudah dibenarkan pulang selepas dua hari kelahiran.
“Namun pada hari ketiga berpantang, saya yang berasa tak selesa di alat sulit terkejut apabila mendapati ada kain gauze keluar bersama darah nifas," katanya.
Norsyazwani berkata, keadaanya lebih teruk pada hari ke-17 berpantang apabila darah secara tiba-tiba keluar terlampau banyak sehingga membuatkan dirinya lemah dan hampir pitam sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
“Apabila ujian imbasan dilakukan, doktor mengesahkan masih terdapat darah beku terkumpul di dalam susulan daripada kain gauze yang tertinggal semasa bersalin,” katanya.
Akibat itu, mangsa sekali lagi ditahan di hospital 15 Oktober lalu bagi membolehkan dia menjalani pembedahan membuang darah beku berkenaan.
Sementara itu, suami Norsyazwani, Mohd Shahid Azim Mohd Saufi, 25, berkata, beliau kecewa atas kecuaian yang dilakukan pihak hospital sehingga menyebabkan isterinya terpaksa menanggung kesakitan.
“Selain tertekan dan risau, saya bimbang kesihatan isteri yang terpaksa kembali ke hospital.
“Keadaan ini (tertinggal gauze) membahayakan nyawa dan mengundang risiko terhadap isteri, dalam masa sama terpaksa menguruskan anak yang dibenarkan pulang sepanjang isteri berada di hospital,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian berkenaan, kerjaya dan kewangannya terjejas kerana terpaksa berulang-alik setiap hari ke hospital di Sungai Petani yang jaraknya lebih kurang 20 kilometer dari rumah.
“Saya berharap semuanya lancar selain bersyukur apabila isteri dijangka dibenarkan pulang petang ini (semalam),” katanya.
Beliau bagaimanapun telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani 16 Oktober lalu.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan dalam kenyataannya berkata, pegawainya sedang menyiasat kejadian berkenaan dengan terperinci
Klik Sini Untuk Like dan dapatkan Berita terkini
No comments:
Post a Comment