SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa seorang timbalan menteri di jabatan perdana menteri ‘kantoi’ apabila mengesahkan Felda bertanggungjawab menyelaraskan program Himpunan Warga Felda pada 16 September lalu, iaitu hari yang sama berlakunya perhimpunan Baju Merah di ibu negara.
Beliau berkata, berdasarkan jawapan kepada Parlimen baru-baru ini, keseluruhan peserta warga Felda yang menyertai program tersebut dianggarkan seramai 10,000 orang meliputi 10 wilayah Felda seluruh negara kecuali Sabah.

“Umum mengetahui 16 September 2015 adalah merupakan Himpunan Baju Merah. Adakah Himpunan Warga Felda sengaja dianjurkan pada hari yang sama untuk ramaikan Himpunan Baju Merah?

“Ini bermakna satu wilayah menghantar 1,000 orang dan ini juga menunjukkan bahawa seramai 10,000 orang warga Felda telah menyertai Himpunan Baju Merah baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dalam jawapan bertulis kepada Parlimen memaklumkan Felda telah menyelaraskan satu program komuniti Felda iaitu Himpunan Warga Felda bersempena sambutan hari Malaysia pada 16 September 2015, bertempat di Masjid Negara Kuala Lumpur.
Menurut jawapannya, program tersebut telah disertai oleh semua NGO di dalam Felda termasuklah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), dan Kami Anak Felda (KAF).

Mengulas lanjut, Nie Ching selaku Penolong Setiausaha Publisiti DAP juga kesal apabila Felda terpaksa menanggung kos sehingga RM925,000 untuk menganjurkan program tersebut, sedangkan ia sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam dan bukannya untuk kepentingan politik pihak tertentu.
“Berdasarkan jawapan yang diberikan, tujuan himpunan tersebut adalah untuk melahirkan rasa cinta dan bersyukur atas nikmat yang diterima warga peneroka seiring dengan pembangunan negara.

“Apa yang disyukurkan oleh warga Felda seiring dengan pembangunan negara sebenarnya? Apa yang kita lihat, sebanyak 99.9 peratus daripada 94,219 warga Felda telah membeli 800 saham Felda Global Venture Holdings (FGVH) dengan harga RM4.45 seunit pada 2012 dan kini tinggal RM1.93 seunit saja,” soalnya.
Katanya lagi, warga Felda sepatutnya menganjur satu protes terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengakibatkan warga Felda kerugian sebanyak RM197 juta.
“Warga Felda perlu sedar dan marah akan pengurangan serta kejatuhan harga saham yang amat teruk ini, bukannya bersyukur,” katanya lag
i