BATU PAHAT - Seramai 15 waris mangsa kemalangan bas persiaran yang berlaku di Chiang Mai, Thailand selamat berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5 pagi tadi.

Sila KLIK LIKE SINI Untuk mendapatkan berita terkini 

Mereka dijangkakan akan berlepas dari KLIA pada jam 1 petang, dan akan tiba ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok pada jam 5 petang dan akan dibawa ke Chaing Mai.
Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Terence Yung berkata, kesemua keluarga dibawa ke sana bagi meninjau  keadaan mangsa yang cedera serta proses pengecaman  mayat.
"Saya berharap semua  waris dapat membantu pihak berkuasa di sana dan memudahkan urusan membawa pulang semua mangsa yang cedera dan mayat dalam tempoh terdekat.
"Keluarga kini dalam keadaan tenang dan memberi kerjasama dengan  baik," katanya kepada Sinar Harian.
Kesemua 15 anggota keluarga mangsa terlebih dahulu berlepas dari Batu Pahat pada 5 pagi tadi menaiki van bersama dua kakitangan syarikat untuk ke KLIA.
Terence menambah, kesemua 22 mangsa dari Batu Pahat itu dihantar keempat hospital sekitar Chiang Mai iaitu Bangkok Hospital, McCormick Hospital, Doi Saket Hospital dan Suan Dok Hospital.

"Kami menjangkakan urusan bagi mayat mangsa dibawa pulang akan mengambil masa lebih kurang empat hingga tujuh hari," kata pengurus berusia 36 tahun itu.
Beliau berkata kesemua mangsa sepatutnya pulang hari ini menaiki pesawat pada 11 pagi ini, dari Chiang Mai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
"Ketika mendapat berita pada 4 petang semalam, kami telah membentuk pasukan kecemasan untuk mengumpul semua maklumat sebelum memberitahu anggota keluarga mengenai status sebenar mangsa kira-kira 9 malam semalam (Ahad)," kata Terence.
Sehingga 9 malam tadi, seramai 13 mangsa, terdiri daripada lima lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 dan 80 tahun dilaporkan maut.
Dalam kejadian 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) itu, seramai 22 rakyat Malaysia berada dalam bas berkenaan selain beberapa penumpang lain yang belum dikenal pasti kewarganegaraan mereka.
Menurut laporan berita antarabangsa, bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap, ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai
.