BESUT - Gara -gara berselfie  seorang pendaki nyaris maut apabila dia terjatuh dari bukit pada ketinggian 30 meter ketika mendaki Bukit Keluang di sini tengahari hari tadi.
Dalam kejadian 12.45 tengahari itu, mangsa Safiuddin  Naif Johari, 24, dari Kota Bharu, Kelantan mengalami patah pergelangan kaki dan cedera di beberapa bahagian badan.
Komander operasi mencari dan menyelamat,  Mustafa  Ismail berkata  pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu kira-kira jam 1.05 petang dan seramai 16 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  Jertih  itu lagi, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa bersama lima ahli keluarga termasuk tunangnya sedang melakukan aktiviti merentas hutan sambil menikmati keindahan berasa di tebing puncak Bukit Keluang yang menghadap Laut China Selatan itu.
"Masa tiba di kaki bukit itu kita jam 10 pagi dari Kota Bharu dan terus mendaki bukit tersebut.
"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan  ingin merakam gambarnya sendiri (selfie) menghadap laut berhampiran  tebing di atas bukit itu," katanya.
Mustafa  berkata lagi, bagaimanapun kaki mangsa tergelincir lalu jatuh ke lereng bukit curam itu namun tersangkut pada bahagian  batu di situ.
Menurutnya,  sebelum membuat panggilan kecemasan, tunang dan adik perempuan mangsa cuba turun ke bawah tebing itu untuk memberi bantuan dan menyelamat mangsa namun tidak berhasil malah mereka juga terperangkap  di lereng itu.
"Dua orang yang cuba membantu itu iaitu kakak mangsa Nor Fatihah, 32, kepenatan sementara tunangnya Nor Nalini Mohamad, 20 mengalami calar- calar sahaja," katanya.
Beliau berkata lagi, anggota bomba dibantu kumpulan pendaki setempat berusaha membawa naik mangsa ke atas  tebing menggunakan  pengusung dan tali sebelum mangsa  berjaya dibawa turun ke kaki bukit jam 5.45 petang.
Kata beliau, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan di bahagian kepala atau pendarahan teruk sebaliknya a mengalami patah pada  pergelangan kaki kiri selain luka.
Mangsa dan adik perempuannya yang kepenatan dikejarkan ke Hospital  Besut untuk rawatan dengan dua buah ambilan yang telah sedia menunggu di situ sejak jam 1.15 petang