KULIM - Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila gagal menanggalkan spanar yang tersekat pada jari telunjuknya ketika membaiki basikal miliknya, di laman rumahnya, di Taman Nilam Baiduri, awal pagi tadi.    
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia sembilan tahun dikatakan cuba membaiki basikalnya dengan menggunakan spanar sekitar 6.00 pagi, selepas bersahur bersama ahli keluarganya   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata, bagaimanapun, secara tidak sengaja mangsa memasukkan jari telunjuknya ke bahagian hujung spanar dan panik apabila gagal menariknya keluar.