MELAKA - Bekas gengster Singapura, Abang Long Fadhil yang juga seorang penceramah bebas cedera di kepala dan di lengan kiri selepas terlibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran susur masuk tol Ayer Keroh di sini.
Beliau atau nama sebenarnya Muhamad Fadhil Husin, 29, dikatakan bersama- sama dua lagi rakannya menaiki Produa Myvi telah melanggar Proton Satria di hadapan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dia dalam perjalanan dari Rawang, Selangor ke Skudai Johor untuk menghadiri satu program keagamaan.

"Saya tengah tidur di sebelah pemandu dan hanya tersedar bila kereta dah terbalik serta bergerak ke kiri jalan dalam masa itu juga saya nampak percikan api.
"Bila kereta berhenti saya keluar melalui tingkap bersama dua lagi rakan sebelum dibantu pemandu kenderaan yang kami langgar," katanya yang ditemui di sebuah homestay di Sungai Udang di sini.
Dalam pada itu, selain ibunya yang tidak mahu mengikutnya ke Skudai, dia turut bersyukur kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa meskipun keadaan kenderaan yang dinaiki remuk teruk.
"Mujur mak saya tak ikut, dia nak stay rumah saudara di Rawang. Bagi saya, ini semuanya telah tertulis dan saya reda ketentuan Allah. Ada hikmah di sebalik kejadian.
"Hanya tiga kaca tertusuk di kepala saya dan Alhamdulillah juga muka tak ada apa-apa. Yang lain pun semuanya ok," katanya.