KUALA LUMPUR - Polis menemukan semula kereta mewah Lamborghini berharga lebih RM800,000 yang dilapor dilarikan minggu lepas, di Jalan Wawasan, Puchong dan menahan dua lelaki dalam kes itu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata,‎ kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun berhampiran Plaza Tol Rawang ketika ia ditemui pada 8 malam, Khamis lalu.
"Ia susulan penahanan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah restoran di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling pada 5 petang hari sama," katanya ketika dihubungi Bernama.

Megat Mohd Aminuddin berkata dua lelaki itu kemudian dilepaskan dengan jaminan polis, namun siasatan masih diteruskan.
Lamborghini itu dilaporkan dipandu seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun sebelum dilarikan tiga penjenayah bersenjatakan parang susulan satu 'pelanggaran' dengan kereta yang dinaiki mereka.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dan rompak bersenjata. - Bernama