IPOH - Tempoh reman ke atas seorang anggota polis berpangkat koperal yang ditangkap bersama dadah dipercayai jenis heroin di sebuah hotel di sini, pada Khamis lalu dilanjutkan tujuh hari lagi.
Timbalan Ketua Polis (Operasi) Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata,‎ anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kanthan Baru itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 8 Sept lalu.
"Polis memohon tempoh reman dilanjutkan untuk meneruskan siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Komuniti Kepolisan di Pasar Bercham di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan tangkapan anggota polis terbabit setelah kes penangkapan berkenaan menjadi viral di media sosial.
Berdasarkan laporan media sosial itu, anggota polis berkenaan ditangkap di sebuah hotel di Chemor pada 2.30 petang, pada 8 Sept lalu.
Pemeriksaan fizikal ke atas suspek yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1981, menemukan enam paket plastik lut sinar dipercayai heroin di dalam poket jaket yang dipakai.
Selain itu, satu pucuk pistol jenis Smith & Wesson berserta lima peluru, satu buku saku PDRM dan satu kad kuasa juga ditemukan bersama suspek.
Sementara itu, Abdul Rani berkata pihak polis akan meningkatkan rondaan di kawasan pasar berkenaan berikutan lima daripada 16 kes yang dilaporkan berlaku di kawasan Bercham pada bulan lalu merupakan kes ragut di sekitar pasar itu.
"Pada bulan, lalu kita terima 16 laporan, lima daripadanya adalah kes ragut di kawasan pasar ini  manakala bulan ini kita terima laporan tiga kes ragut dengan jumlah kerugian kurang daripada RM100," katanya.
Katanya, setakat ini polis telah mengenal pasti dua suspek kes ragut itu yang menjadikan warga emas yang hendak ke pasar sebagai sasaran. - Bernama