SHAH ALAM – Anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din memberitahu doktor merawat
bapanya yang dikenali sejak 16 tahun lalu, Prof Alan C Yeung dari Pusat Perubatan Universiti
Stanford banyak kali menitiskan air mata sejak pemergian Mursyidul Am Pas itu.
Dr. Huda Haron berkata, Dr Alan menyifatkan Allahyarham bapanya itu sebagai pesakit beliau yang
paling baik dan gigih dalam apa juga keadaan.
“Oh ya nak beritahu Baba...Dr Alan Yeung setiap hari tanya khabar kami. Semalam dia hantar
pesanan, minta izin nak ziarah Baba. Dia minta nombor telefon dan alamat e-mel kami, tidak
mahu putus hubungan katanya dan berharap pertalian kekal bertanya khabar.
“Dia kata, Baba pesakitnya yang paling baik dan paling gigih dalam apa jua keadaan. 16 tahun
dia kenal Baba dan rapat kita dah macam keluarga. Banyak kali matanya bergenang dan menitiskan
 manik-manik jernih. Dia menangis Baa...banyak kali,” ceritanya melalui satu perkongsian di Facebook.
Menurutnya lagi, Dr Alan sering bersama keluarganya sepanjang detik cemas dan getir mereka di sana.
“Dia tidak pinggirkan kami. Malah pakar-pakar lain yang merawat Baba memuliakan Baba.
“Rakaman penghargaan untuk semua yang merawat dan terlibat dalam ikhtiar rawatan Baba terutama
 Prof Alan C Yeung dan Dr Joe Hsu dari Pusat Perubatan Universiti Stanford.
“Tidak dilupakan seluruh jemaah Pakar Kardiologi di IJN (Institut Jantung Negara) serta jururawat-
jururawat terutama Datuk Amin, Tan Sri Rob, Dr Yap dan Dr Rima,” katanya.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.05 pagi Jumaat lalu pada usia 76 tahun di California
akibat komplikasi jantung yang kritikal dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five
Pillars Farm Livermore, Santa Clara.
Dalam perkongsian lain di Facebook, Dr Huda seolah-olah berbicara dengan Allahyarham tentang
ibunya, Datin Khatijah Salleh.
“Baba jangan risau, kami lima beradik bersama anak menantu berjanji sepenuh hati akan menjaga
kebajikan mama seperti yang Baba pernah perlihatkan kepada kami. Mama sangat kuat dan tabah
Baa…Lebih kuat daripada yang kami sangka, lebih kuat daripada kami berlima.
“Mama yang mendakap dalam pelukan hangatnya menyabarkan kami. Mama yang mengingatkan kami
 berkali-kali tika terasa ingin meraung dan melalak seperti tiada iman. Tenang raut wajah mama memberi
 kami kekuatan menggagahi saat paling kemuncak,” katanya.