TELUK BAHANG - Seorang lelaki warganegara Brazil dipercayai hilang apabila bot yang dinaikinya bersama tiga krew karam di Muka Head di sini.
Pengarah Maritim Wilayah Utara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi semalam.
Menurutnya, lelaki bernama Lucas Bondezan, 24, itu hilang di kedudukan 15 batu nautika barat laut pantai berkenaan.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot tersebut.
“Bagaimanapun operasi itu ditangguhkan sementara sebelum bersambung semula pada jam 7 pagi semalam akibat ombak besar dan cuaca gelap,” katanya.
Kok Kwee berkata, kejadian berlaku ketika bot yang dinaiki mangsa bersama tiga krew lain sedang bergerak untuk ke Singapura.
Bagaimanapun secara tiba-tiba bot telah mengalami masalah teknikal di bilik enjin yang menyebabkan berlaku kebakaran besar serta berlaku letupan.
“Bagaimanapun krew yang lain berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berdekatan dengan tempat kejadian,” katanya.
Maritim Malaysia menasihatkan supaya kesemua bot tempatan atau luar negara mengambil langkah keselamatan ketika membuat aktiviti di laut.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah dan kemalangan yang berlaku di perairan negara.