Nuffnang

Wednesday, November 16, 2016

Dulu Tebar Roti Canai, Kini Chef Duta Malaysia



  

Safura dan Duta Malaysia ke Ottawa, Datuk Aminahtun (baju biru) bergambar bersama juri Cabaran Chef Kedutaan Kanada 2016, baru-baru ini.
PETALING JAYA: Beliau pernah menebar roti canai ketika berusia 10 tahun di restoran milik keluarganya di Ranau, Sabah dan kini mula menempa nama sebagai chef yang disegani di bumi asing.
Siti Safura Mohd Tawil atau lebih mesra dipanggil sebagai Chef Safura Tawil merupakan anak muda Malaysia yang mengharumkan nama negara apabila menjuarai Cabaran Chef Kedutaan 2016 di Ottawa, Kanada baru-baru ini.
Hidangan tempatan seperti pulut kuning, rendang daging, serunding dan sate sudah memadai buatnya untuk mendapat pengiktirafan dalam kalangan cef luar negara yang lebih hebat dan berpengalaman yang menyertai pertandingan tersebut.

Baru 10 bulan bekerja sebagai cef di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, gadis berkelulusan dalam bidang kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berbesar hati untuk berkongsi kejayaannya bersama mStar Online.
Walaupun pertama kali menyertai pertandingan memasak di luar negara, Safura mendedahkan, beliau sebenarnya sudah mula meminati dunia masakan sejak usia 10 tahun apabila menjadi penebar roti canai di restoran milik keluarganya di Ranau pada usia 10 tahun.
Malah katanya, keluarganya turut memiliki sebuah restoran yang menggunakan namanya, Siti Safura di Telupid tetapi premis tersebut telah ditutup kerana beliau sekeluarga berpindah ke Temerloh Pahang.
Berdasarkan minatnya terhadap dunia masakan, maka tidak hairanlah gadis berusia 25 tahun itu memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang kulinari UiTM dan menyertai beberapa pertandingan peringkat tempatan dan antarabangsa yang diadakan di dalam negara.
Ternyata berkat kesungguhan menuntut ilmu di menara gading, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berjaya mencapai cita-citanya apabila menabur khidmat sebagai chef bagi delegasi Malaysia yang diketuai Duta Malaysia di Ottawa, Kanada, Datuk Aminahtun A. Karim.

Safura menerangkan hidangan yang dihasilkannya kepada juri pertandingan.
Mengulas tentang pemilihan hidangan ketika menjuarai pertandingan di Kanada, Safura menjelaskan, beliau memilih hidangan tersebut kerana makanan itu sangat terkenal di Malaysia selain mempunyai cara penyediaan yang berbeza untuk melengkapkan cabaran tersebut.
"Saya memastikan memperkenalkan hidangan 100 peratus dari Malaysia dan mahu memastikan rakyat Kanada merasai hidangan Malaysia yang asli tanpa diubah rasanya.
"Malah saya menggunakan resepi ibu untuk membuat rendang daging yang merupakan makanan kegemaran saya," katanya.

Safura menunjukkan demonstrasi menebar dan memasak roti canai kepada rakyat Kanada.
Ditanya tentang perancangan masa depan, Safura berkata, beliau memasang impian untuk membuka sebuah restoran sama ada di Kanada atau di Malaysia memandangkan namanya sudah mula dikenali ekoran kejayaan tersebut.
Malah katanya, beliau juga sering menebar roti canai sebagai demonstrasi kepada penduduk di Kanada yang berminat untuk mengetahui satu daripada makanan kegemaran rakyat Malaysia itu.
"Insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan menyertai lagi pertandingan sama pada tahun depan.
"Saya akan mencuba yang terbaik kerana sememangnya saingan antara peserta lain sangat hebat," tambahnya.

Safura dibantu oleh rakannya untuk menyediakan hidangan.
Tanpa melupakan asal-usulnya, Safura menyifatkan kejayaan di bumi Kanada sebagai kemenangan yang ditujukan khas buat rakyat Malaysia.
Tambah beliau, kemenangan itu tidak akan hadir tanpa sokongan beberapa pihak termasuk staf Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa yang banyak membantunya.
"Terima kasih kepada Datuk Aminahtun, keluarga, rakan, pensyarah, dan chef yang banyuk memberi sokongan tanpa henti sebelum, semasa dan selepas pertandingan," katanya

No comments:

Posting Terbaik Minggu Ini

Sila Like Blog Apa Khabar Orang Kampung

Follow twitter

Harga Minyak dan Logam Dunia

Sahabat Ku... Tanpa Mereka Siapalah Media Orang Kampung