DIKEMASKINI
NEPAL: Anda mungkin telah mendengar tentang bagaimana Arshad Khan, seorang penjual teh kacak dan bermata biru dari Pakistan menjadi terkenal di media sosial dalam sekelip mata selepas gambarnya disiarkan di Instagram.
Kini, gambar seorang gadis penjual sayur dari Nepal, Kusum Shrestha pula menjadi viral di media sosial gara-gara rupa parasnya yang menarik, BBC melaporkan.
Gambar gadis berusia 18 tahun itu sedang menjual sayur-sayuran di sebuah pasar tempatan telah dirakam dan ia telah menarik perhatian ramai apabila ia dimuat naik di internet.
Hashtags #Tarkariwali dan #Sabjiwali yang kedua-duanya bermaksud 'penjual sayur-sayuran' telah menjadi 'trending' di media sosial apabila netizens memuji kejelitaannya.
Dalam sekeping gambar, gadis itu dilihat tersenyum ketika beliau memikul sebakul tomato ketika lalu di atas titi.
-foto Facebook
Gambarnya sedang bercakap di telefon bimbit semasa menjual sayur-sayuran di pasar turut dirakam.
Shrestha datang dari sebuah keluarga petani yang berpangkalan di Bagling, Gorkha, iaitu kira-kira 90km di barat Kathmandu.
Shrestha memberitahu BBC Nepali bahawa beliau adalah seorang pelajar di kawasan berhampiran Chitwan, dan sedang membantu ibu bapanya semasa kolej sedang bercuti ketika gambar itu diambil.
Jurugambar RupChandra Maharjan memberitahu blog Nepal, Gundruk Postbahawa beliau mengambil gambar Shrestha di jambatan gantung Fishling antara Gorkha dan Chitwan. Beliau dilaporkan bekerja untuk sebuah syarikat rakit di Sungai Trishuli.
Shrestha berkata kepada BBC bahawa beliau mendapat tahu tentang gambar viral itu melalui seorang rakan.
"Mula-mula rakan saya bertanya jika saya adalah gadis dalam gambar yang menjadi viral di Facebook. Tetapi saya tidak tahu," kata Shrestha.
"Kemudian dia menghantar saya gambar-gambar itu dan apabila saya melihatnya, memang benar ia gambar saya. Pada hari itu, saya pergi menjual sayur-sayuran untuk membantu ibu bapa saya. Semasa dalam perjalanan untuk menjual sayur-sayuran, RupChandra telah mengambil gambar saya, tetapi pada masa itu, saya tidak tahu bahawa gambar saya sedang dirakam.
Ramai pengguna di Twitter dan Facebook mengagumi etika kerja gadis ini. Salah seorang daripada mereka, @SabyasachiPuhan menyifatkannya sebagai gabungan 'kecomelan dan kerajinan'.
Malah salah seorang peminatnya mencadangkan bahawa Khan dan Shrestha akan menjadi satu pasangan yang ideal.
Shrestha berkata, beliau sangat teruja dengan apa yang berlaku.
Apabila ditanya sama ada beliau ingin menjadi model seperti Khan jika mendapat peluang, wajah berseri-seri dan berkata: "Ya, saya akan pergi."
Bapanya Narayan Shrestha, 43, memberitahu laman web berita Nepal, myrepublica.com: "Saya mendengar bahawa gambarnya telah menjadi popular di Internet. Siapa dapat bayangkan dia akan mendapat publisiti seperti ini. Anak perempuan saya adalah seorang gadis pemalu, dia tidak banyak bercakap."
Shrestha berkata, anak perempuannya sedang belajar bidang pengurusan. Walau bagaimanapun, impiannya adalah untuk menjadi seorang jururawat.
"Dia adalah anak tunggal saya. Saya perlu mendidiknya setakat mana yang boleh," katanya.
"Tetapi saya juga perlu mengambil kira keadaan kewangan saya. Saya tidak dapat memasukkannya ke kolej kejururawatan walaupun dia mahu belajar kejururawatan."
Beliau berkata, perhatian terhadap anaknya itu menunjukkan bahawa orang ramai menghormati golongan petani dan kerja keras mereka.
"Ini adalah apa yang saya rasa. Tiada apa-apa selain itu yang saya jangkakan," katanya. – The Straits Times/Asia News Network.
No comments:
Post a Comment