KUALA LUMPUR - Seorang lelaki menembak mati bekas isterinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam kejadian di sebuah firma guaman di Menara Centara, Jalan Chow Kit, dekat sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, polis menerima panggilan dari orang awam yang menyatakan ada lelaki datang melepaskan beberapa das tembakan.
Menurutnya, suspek dikatakan datang sebelum naik ke tempat bekas isterinya bekerja di tingkat 16 bangunan tersebut.
"Suspek berusia 51 tahun datang membawa pistol dan sebilah parang sebelum berlaku pertengkaran sesama mereka. Kemudian, suspek telah menembak bekas isterinya berusia 46 tahun hingga mengenai belakang badan dan peha.
"Suspek kemudian telah menembak dirinya di bahagian kepala," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kedua-dua individu maut di lokasi kejadian.
Tambahnya, ketika kejadian terdapat kira-kira 20 pekerja sedang bertugas.
Katanya, siasatan awal dapati bekas pasangan suami isteri itu memiliki tiga orang anak dan telah bercerai sejak lima tahun lalu. Semakan dibuat juga dapati suspek ini mempunyai rekod jenayah lampau kerana mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.
"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.