BUKIT MERTAJAM - Seorang model sambilan yang sebelum ini dilaporkan memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.
Tertuduh, Ng Pei Ven, 19 membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Jamaliah Abd Manap selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa memandu kenderaan jenis Proton Gen 2 dibawah pengaruh dadah di Kilometer 134 Lebuhraya PLUS dari Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth, kira-kira jam 7.50 pagi, 14 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun serta lucut lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.
Terdahulu,Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin, selain meminta tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh sama bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jamaliah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin, selain mentapkan 12 Mei ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, Pei Ven yang didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengaku tidak bersalah selepas didakwa memasukkan dadah jenis syabu ke dalam badannya dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 beserta dua penjamin.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berdepan dengan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.