image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2017/07/06/14/52/shellout%20kuih%20raya2.ashx?w=620&h=413&crop=1&/
PETALING JAYA: Kemeriahan sambutan Aidilfitri di sebuah sekolah rendah di utara negara ini pada Khamis terpalit dengan kecaman netizen mengenai konsep ‘shell out’yang digunakan untuk menghidangkan jamuan hari raya kepada murid-murid.
Sekeping gambar yang dimuat naik di Facebook menunjukkan himpunan kuih raya, disusun di atas beberapa meja yang digabungkan menjadi satu di dalam dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Santan di Kangar, Perlis.
Pelbagai jenis kuih raya dihidangkan bagi membangkitkan suasanan raya yang masih terasa tetapi segelintir netizen menyifatkan konsep tersebut tidak sesuai dilaksanakan atas faktor membazir dan kebersihan.
Seorang pengguna Facebook Asha Zaki berkata: “Bukan kira kotor ke apa. Budak ini ramai sekali ambik habis bercampur. Kesianlah budak yang baru nak ambil, jadi tak sedaplah nanti habis hancur.”
Mohd Pk berkata: “Kalau tak habis kan membazir?” Sementara itu, Mus Tapa berkata: “Agak-agak boleh habis makan tak ni?”
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Santan, Noramini Abdul Rani tampil menjelaskan bahawa konsep ‘shell out’ kuih raya bukan perkara baharu di kebanyakan sekolah semasa jamuan hari raya, malah pihaknya juga telah melaksanakannya sejak beberapa tahun lalu.
Tanpa paksaan, beliau menjelaskan bahawa murid-murid diminta untuk membawa kuih raya, selain hidangan makanan dan minuman lain yang disumbangkan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
“Kita tidak memaksa mereka untuk membawa kuih raya. Tetapi konsep ‘shell out’ ini bagi membolehkan semua murid dapat berkongsi makanan mereka bersama lain.
“Tambahan pula ada murid dari keluarga yang kurang berkemampuan. Konsep ini membolehkan murid-murid terbabit berpeluang merasai kuih raya yang tidak dibawa atau belum pernah dirasai mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Noramini berkata, isu pembaziran tidak timbul kerana SK Santan mempunyai kira-kira 40 guru dan 382 murid dari pra sekolah sehingga Tahun Enam, maka kesemua kuih raya yang dihimpunkan itu dikongsikan beramai-ramai.
Beliau menambah, masalah berebut juga tidak timbul kerana setiap kelas terlebih dahulu diberikan juadah utama seperti bihun dan minuman sebelum masing-masing bergilir beratur untuk mengambil kuih raya sebagai hidangan sampingan.
“Kita memberikan peluang setiap murid mengambil kuih raya. Mereka juga dinasihatkan untuk membersihkan tangan terlebih dahulu sebelum menikmati juadah,” katanya sambil menambah bahawa tisu turut disediakan di meja ‘shell out’.
Mengenai kritikan netizen bahawa konsep tersebut hanya menyaksikan pembaziran, Noramini berkata, perkara itu tidak berlaku kerana setiap murid dialu-alukan untuk membawa balik baki kuih raya mahupun juadah raya yang lain.
“Murid-murid akan menggunakan bekas masing-masing untuk membawa lebihan kuih raya. Semuanya masih dalam keadaan baik jadi ia boleh dimakan mereka, malah boleh dikongsikan bersama keluarga di rumah.
“Apa yang lebih penting adalah konsep jamuan raya ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim bahkan membangkitkan keseronokan dan kegembiraan mereka menyambut hari raya,” katanya yang bertugas di SK Santan selama dua tahun dan berkhidmat dalam bidang perguruan lebih 22 tahun.
Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/07/06/shellout-kuih-raya/#EXAsfQZPhmy56Cig.99
No comments:
Post a Comment