Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, runner berkenaan mahu menutup pintu pagar sempadan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Ops Bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa tempatan tetapi secara tidak sengaja tersilap menutup pintu pagar sempadan Malaysia.
"Kejadian berlaku pada pukul 10 pagi dan kekecohan lebih kurang 15 minit bagaimanapun terkawal kerana pihak kami bertindak segera selepas menerima laporan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Zuhair berkata, pihaknya percaya tindakan itu dilakukan oleh kira-kira dua suspek (runner), namun ketika pihak berkuasa menerima laporan berhubung kejadian tersebut, mereka dipercayai sudah melarikan diri.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek-suspek itu untuk tindakan susulan. - Bernama