Wanita Cina lancar gerakan kumpul dana, terharu tengok pemuda kurang duit gigih beri makan haiwan jalanan
SEJAK tular kisah seorang pemuda Melayu menggunakan upahnya menjaga parkir kereta bagi membeli makanan untuk anjing dan kucing jalanan, ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum dan bangsa tampil untuk membantu pemuda berkenaan.
Sikap mereka wajar dipuji, malah ada dalam kalangan yang memberi bantuan itu sama seperti pemuda bernama Anfalazie Anuar, 30, atau Ann, turut aktif membela nasib kucing dan anjing jalanan.
Ini termasuk seorang wanita berbangsa Cina yang menyuarakan inisiatifnya untuk membantu Ann bagi melancarkan urusannya memberi makanan kepada haiwan-haiwan tersebut di beberapa lokasi di sekitar Bukit Mertajam, Seberang Perai setiap hari.
Michelle melihat terharu kegigihan pemuda itu memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan dengan sumber kewangan terhad.
Michelle Teng, 34, berkata, dia terpanggil untuk membantu Ann selepas melihat kegigihan pemuda itu memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan menggunakan upahnya menjaga parkir selain gaji sebagai pekerja pembersihan.
“Sebenarnya, ramai rakyat Malaysia yang mahu membantu haiwan-haiwan jalanan ini tetapi mereka mungkin tak tahu bagaimana untuk melakukannya.
“Begitu juga dengan situasi yang dihadapi Ann, dia mahu memberikan makanan kepada anjing dan kucing jalanan dengan sumber kewangan yang terhad, tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada mStar.
Michelle (kiri, hadapan) bersama rakan-rakannya yang juga merupakan pencinta haiwan.
Ann yang terpaksa meminjam motosikal adiknya berikutan motosikalnya rosak dan perlu menanggung kos untuk membaikinya membuatkan Michelle mahu membantunya.
Ramai rakyat Malaysia yang mahu membantu haiwan-haiwan jalanan ini tetapi mereka mungkin tak tahu bagaimana untuk melakukannya.MICHELLE TENG
Selain memberikan makanan kepada anjing jalanan, Michelle yang berasal dari Kuala Lumpur secara sukarela membantu pemilik anjing mencari keluarga angkat buat anjing peliharaan mereka.
"Pemilik-pemilik anjing ini mempunyai alasan tersendiri untuk 'melepaskan' anjing mereka dan saya akan pastikan ia diambil oleh keluarga yang bersesuaian.
"Saya dikira sebagai orang tengah tapi saya lakukannya secara sukarela. Apa yang penting, saya berusaha untuk menangani kehidupan haiwan terbiar," katanya sambil menambah dia pernah membantu seseorang yang mahu berhijrah ke luar negara dan tidak dapat menguruskan anjingnya lagi.
Anfalazie Anuar.
Melakukan kerja-kerja secara sukarela ini sejak dua tahun lalu, Michelle juga pernah membantu seseorang yang menjumpai anjing jalanan yang cedera dilanggar kereta dan membuat perkongsian di laman sosial bagi mengumpul dana untuk membiayai kos perubatan haiwan itu.
Sehubungan itu, Michelle yang merupakan pengurus kewangan korporat di sebuah syarikat di Kuala Lumpur berkata, dia turut melakukan inisiatif dengan melancarkan halaman baharu di Faceboook bagi mengumpul dana untuk membantu Ann.
"Halaman Facebook itu bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai bagi mengumpul dana dengan harapan ia dapat membiayai kos membaiki motosikalnya yang rosak.
"Motosikal merupakan aset penting buat Ann bagi memudahkan pergerakannya untuk ke beberapa lokasi dua kali sehari bagi memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan.
"Jika banyak dana, bolehlah Ann beli atau baiki motosikalnya. Jika tidak, sekurang-kurangnya Ann boleh gunakannya untuk membeli makanan buat anjing dan kucing," katanya yang juga membela seekor anjing bernama Yuuki berusia dua tahun.
Halaman Facebook yang dilancarkan Michelle bagi mengutip dana untuk membantu Ann.
Menerusi halaman Facebook An Feeder Helping Hand itu, Michelle memberitahu tujuan dana dikumpul bagi membeli sebuah motosikal untuk Ann atau sekurang-kurangnya membaiki motosikal pemuda itu yang rosak yang akan disalurkan terus kepada pengusaha premis, dengan sasaran kutipan kira-kira RM3,000.
Menurut Michelle lagi, jika terdapat lebihan selepas pembelian motosikal itu, wang berkenaan akan diserahkan kepada Ann untuk perbelanjaan makanan bagi kucing dan anjing jalanan.
Pada masa sama, Michelle juga akan mendapatkan bantuan daripada mana-mana pengedar motosikal bagi memudahkan urusan membabitkan motosikal Ann.
mStar sebelum ini melaporkan Ann memberi makanan kepada kucing dan anjing jalanan di sekitar Bukit Mertajam, selepas ia dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Azman Ali.
No comments:
Post a Comment