Kau takkan kaya...” - Pernah termenung lima hari, video TikTok penjual belon undang sebak
SUDAH menjadi lumrah, kebanyakan orang suka menilai sesuatu dari luaran sahaja.
Sebagai contoh, ada segelintir golongan yang menilai kehidupan ataupun status seseorang berdasarkan penampilan dan pekerjaan individu tersebut.
Begitulah situasi yang pernah dialami oleh lelaki ini ketika dia mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam perniagaan berasaskan dekorasi parti, hampir sedekad yang lalu.
Biarpun dilemparkan kata-kata negatif oleh orang di sekelilingnya, namun Dzulhazry Zainal Abidin terus mengorak langkah ke depan.
Balloonism25 sering menjadi pilihan untuk melakukan dekorasi belon sewaktu acara klien.
Ternyata, lelaki berusia 31 tahun ini berjaya membuktikan tanggapan yang dilemparkan terhadapnya selama ini salah, kononnya pekerjaan sebagai penjual belon tidak menjanjikan masa depan yang cerah.
Dzulhazry memuat naik video pendek yang dihasilkan menerusi aplikasi TikTok, menceritakan perit jerih perjalanannya sebagai seorang penjual belon sehingga ia meraih lebih 5,000 retweet dan lebih 3,000 likes.
"Saya tak berniat langsung nak buat video sedih... ia hanya kisah perjalanan mengenai pengalaman saya selama berkecimpung dalam bidang dekorasi dan penjual belon dari mula hingga kini," katanya kepada mStar.
Antara dekorasi Balloonism25 untuk acara sambutan hari ulang tahun seorang klien.
Mengimbas kembali perjalanan kariernya itu, Dzulhazry berkata dia menimba pengalaman bekerja dengan sebuah syarikat yang mengkhususkan dalam bidang dekorasi untuk acara selepas tamat pengajian di peringkat diploma.
"Saya mula kerja sejak 2012 di syarikat tersebut. Dari situ, saya banyak menimba pengalaman dan akhirnya pada 2014, saya cuba untuk memulakan perniagaan sendiri, juga menjual belon untuk acara-acara.
"Biasalah, awal-awal tu memang ada suara-suara yang merendah-rendahkan... ada kata 'jual belon RM 3 sebiji, berapa sangat orang nak beli', 'kau takkan kaya jual belon je'. Memang sangat sentap dan diingat sampai hari ini.
Salah satu dekorasi Balloonism25 untuk booth kliennya.
"Tapi sebenarnya, kita kena pelbagaikan skil... jangan tumpu satu je. Contohnya, dekorasi untuk pelancaran produk, majlis hari lahir, kejutan dan acara-acara lain. Saya perkenalkan Balloonism25 ni mula-mula dekat kawan-kawan, keluarga dan iklankan di Facebook.
"Alhamdulillah, dalam masa dua tahun, Balloonism25 mampu berdiri dan rasa berbaloi dengan apa yang dilalui," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.
Ada kata 'jual belon RM 3 sebiji, berapa sangat orang nak beli', 'kau takkan kaya jual belon je'. Memang sangat sentap dan diingat sampai hari ini.
DZULHAZRY ZAINAL ABIDIN
PEMILIK BALLOONISM25
Selama berkecimpung dalam perniagaan ini, Dzulhazry mengutip banyak pengalaman manis.
"Antaranya, saya sering mendapat tempahan daripada artis-artis terkenal untuk acara-acara mereka. Hingga ada yang jadi klien tetap. Selain itu, pernah juga diwawancara oleh satu stesen televisyen," katanya yang beroperasi di Gombak, Selangor.
Namun langit tidak selalunya cerah. Ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan Dzulhazry turut tidak terkecuali terkena tempias.
Isteri menjadi tulang belakang dan sistem sokongan tetap buat Dzulhazry.
"Memang jatuh teruk masa PKP. Bayangkan, ketika itu ada 10 acara tapi kesemuanya klien terpaksa batalkan. Lima hari saya termenung... namun perlahan-lahan merencana perancangan seterusnya. Sejak PKPB Jun lalu barulah bangkit semula," katanya.
Lapan tahun terlibat dengan perniagaan dekorasi belon, Dzulhazry sudah lali dengan suara-suara negatif yang masih wujud sehingga kini, terutama daripada orang sekeliling.
Mengambilnya sebagai satu cabaran, lelaki ini turut menasihatkan kepada mereka yang senasib dengannya agar tidak mudah patah semangat jika berdepan dengan situasi sedemikian.
Selebriti Nora Danish merupakan antara klien tetap bisnes Dzulhazry.
"Jangan ambil serius apa yang diperkatakan. Melangkah terus dan jangan berundur. Tak kisah berapa jualan, jangan tengok pada nilai yang kecil.
"Bagi orang di luar sana pula, jangan nilaikan seseorang dengan apa yang dia jual, tapi lihat kepada skilnya. Dan jangan nilai seseorang daripada luaran," ujarnya mengakhiri bicara.mStar
No comments:
Post a Comment