Kecoh rider promote ‘kolam ikan tepi highway’, semuanya gara-gara lorong motosikal banjir... JKR jawab ini puncanya!
KECOH sejak beberapa hari lalu mengenai kewujudan 'kolam ikan' di tepi lebuh raya.
Bukan sebarangan lebuh raya, tetapi Lebuhraya Persekutuan yang menjadi laluan utama bagi penduduk di sekitar Lembah Klang.
Ia selepas tindakan seorang penunggang motosikal yang didakwa melepaskan anak-anak ikan pelbagai jenis ke dalam takungan air dekat terowong di lorong motosikal lebuh raya itu dekat Subang, Selangor menghala ke Kuala Lumpur.
Tindakan pemuda tersebut bagaimanapun hanya menyindir pihak berkuasa berikutan masalah banjir yang tidak berkesudahan, namun tidak dinafikan ia menyalahi undang-undang.
Tindakan seorang penunggang motosikal melepaskan anak-anak ikan di takungan air dekat terowong motosikal.
Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum berhubung video yang tular tersebut.
Bercakap kepada mStar, Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, perkara tersebut berlaku adalah disebabkan isu bekalan elektrik ke pam telah terputus akibat kecurian kabel oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, pada masa ini, terowong motosikal tersebut telah ditutup dan laluan motosikal di kawasan yang berkaitan telah dilencongkan ke laluan susur berhampiran Stesen Petronas.
"Ini bagi menjamin keselamatan penunggang motosikal sehinggalah isu bekalan elektrik ke pam air berkenaan diselesaikan.
"Syarikat konsesi penyenggaraan juga telah diarahkan untuk mengepam air yang bertakung akibat hujan secara manual dari semasa ke semasa," katanya kepada mStar.
Mohamad Zulkefly berkata, sebarang perbuatan khianat dan mengganggu harta benda awam adalah salah di sisi undang‐undang dibawah Seksyen 427 kanun keseksaan, merujuk kepada kes kecurian kabel.
"Di bawah Seksyen 70 (4) (Akta 333 ‐ Akta Pengangkutan Jalan 1987) pula, sebarang perbuatan menceroboh kawasan yang telah ditutup (cordoned area) merupakan satu kesalahan," katanya.
Kerja-kerja yang diselenggarakan di kawasan terowong motosikal. Foto Facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia
Sehubungan itu, Mohamad Zulkefly berkata, JKR Malaysia memohon kerjasama dan keprihatinan daripada orang awam supaya bersama‐sama menjaga harta benda awam, melaporkan aktiviti yang mencurigakan dan mendidik sikap bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kerjasama erat di antara pihak berkuasa dan orang awam perlu diperkukuhkan bagi membanteras jenayah kecurian harta benda awam dapat dikurangkan.
"Pihak JKR amat berterima kasih di atas aduan awam. Orang awam disarankan untuk menyalurkan sebarang aduan ke sistem aduan rasmi JKR di laman web https://aduan.jkr.gov.my," katanya.
DATUK MOHAMAD ZULKEFLY SULAIMAN
Terdahulu, tular dua video yang dimuat naik di halaman Facebook Majalah Kapcai TV di mana salah satunya menunjukkan seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa anak ikan pelbagai jenis ke dalam takungan air dekat terowong laluan motosikal.
Pemuda itu kemudian mengeluarkan beberapa plastik yang mengandungi beberapa jenis anak ikan dari dalam ruang simpanan barang motosikal iaitu ikan puyu, ikan kap, ikan haruan dan ikan talapia hitam.
Laluan motosikal dilencongkan bagi menjamin keselamatan penunggang motosikal. Foto Facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia
"Membiaklah sebanyak-banyaknya. Selepas ini kita ada port untuk memancing yang bestlah... di tepi highway. Mungkin akan menjadi satu tarikan pelancongan di Lembah Klang.
"Alhamdulillah, kita dah buat majlis pelepasan ni. Jadi, kita tunggulah mungkin dalam empat bulan untuk kita datang memancing kat sini," katanya secara sinis.
Keadaan takungan air seperti kolam dipercayai berpunca daripada saluran air atau longkang yang tersumbat di lorong motosikal selepas hujan lebat, sejak beberapa hari lalu.
mSTAR TQ
No comments:
Post a Comment