Rakan sambung belajar ke menara gading, gadis 20 tahun pilih naik Cameron Highlands tebar roti canai - “Sambal, kuah kari semua saya sediakan”
AKSI seorang gadis berusia 20 tahun yang mahir menebar roti canai meraih perhatian ramai menerusi satu video tular di Twitter sejak Sabtu.
Gadis berkenaan, Siti Noor Shafikah Mahmudi sewaktu dihubungi mStar mengakui terkejut selepas rakaman itu yang dikongsi sepupunya meraih 50,000 tontonan dalam tempoh kurang 24 jam.
Mesra disapa Fika, anak ketiga daripada empat beradik itu turut bercerita mengenai perjalanannya yang baru mengusahakan perniagaan bersama ibu, Siti Hajar Muhamad, 47, di Cameron Highland, Pahang sejak empat hari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mesin rumput je! Turun bersawah, pasang siling pun gadis ni pernah buat... sakit badan ‘no hal’ - “Tak susah pun, cuma berat sikit”
ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sayang martabat wanita ke?” - Pelumba BMX bertudung kalis kecaman, sokongan bertambah selepas buat video TikTok
"Sebelum ini kami menetap di Kuala Lumpur, kemudian ayah meninggal dunia pada usia 67 tahun , 22 Jun lalu. Ayah tiba-tiba sakit, doktor kata ada penyakit tiga serangkai... sakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang.
"Mak sebelum ini bekerja dengan syarikat Radicare di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kami baru je berpindah pada September lalu selepas mak transfer bekerja di Hospital Cameron Highland.
"Pakcik yang ajak mak naik Cameron untuk cuba bisnes di sini. Selain kerja hospital, mak berniaga kedai makan bersama saya dan adik bongsu," ujarnya.
Fika dan ibunya baru sahaja mengusahakan perniagaan di Cameron Highland.
Jelas Fika, ibunya akan menyediakan hidangan nasi lemak sebelum keluar bekerja manakala dia akan menguruskan makanan lain seperti roti canai.
Biarpun masih muda, Fika akui sudah mahir menebar memandangkan sebelum ini pernah berniaga murtabak di sebuah bazar di Selayang, Selangor.
"Sebelum ni berniaga murtabak, saya belajar buat roti canai masa berniaga murtabak. Mak dan pakcik pun ada ajar saya.
"Macam nasi lemak, mak yang buat. Roti canai, sambal, kuah kari semua saya sediakan. Itu untuk pagi. Malam pula kami buat steamboat, goreng-goreng dan sebagainya," ujar Fika.
Tambah gadis itu lagi, dia tidak kisah apabila rakan-rakan seusia melanjutkan pelajaran ke menara gading dan mengakui lebih berminat untuk menjalankan perniagaan.
"Bagi Fika, kalau berniaga boleh bantu keluarga. Fika memang minat berniaga.
"Saya sebenarnya gembira, tak sangka video tu viral. Kita baru buka kedai, syukur ramai yang komen beri sokongan.
Fika bersama ibunya.
"Nak kata susah, susah juga nak tebar roti canai. Kena belajar perlahan-lahan. tapi lama-lama jadi makin senang.
"Terima kasih semua yang sokong kami, yang suarakan hasrat nak datang ke kedai kami," ujarnya lagi.
Kedai makan yang diusahakan keluarga itu.
Sehingga kini, posting di Twitter itu turut menerima lebih 4,100 ulang kicau (Retweet).
Malah, ramai netizen turut meninggalkan komen, memberikan sokongan buat gadis itu.
"Dia boleh tebar roti canai dengan sempurna. Saya hanya tahu makan. Yang tebar pun cantik molek orangnya.
Fika berterima kasih kepada netizen atas sokongan yang diberikan di Twitter.
"Full respect pada sepupu awak (Fika) sebab mampu tebar roti canai dengan cantik. Aku tebar baju dalam bilik air pun gagal.
"Nanti datang sana pasti singgah. Semoga dipermudah urusan," tulis beberapa netizen.
Kredit Mstar
No comments:
Post a Comment